Kastam Perak Bongkar Sindiket Seludup Kereta Dalam Serbuan Mercun Haram

Diterbitkan: Rabu, 16 Julai 2014 3:02 PM

Mohd Nasir menunjukkan hasil rampasan mercun haram pada sidang media di Ipoh, Rabu.

(Ubah saiz teks)

IPOH: Ops Ramadan yang digerakkan Jabatan Kastam Diraja Perak (JKDM) bagi menyasarkan rantaian jualan mercun dan bunga api sejak 30 Jun lepas turut membongkar sindiket penyeludupan kereta dari negara jiran.


Pengarah Kastam Perak, Datuk Mohd Nasir Said berkata, pihaknya juga menahan empat individu iaitu tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 20-an dan 60-an, dalam empat serbuan berasingan yang turut melibatkan premis kediaman.

"Sepanjang operasi itu dijalankan sehingga hari ini, Kastam merampas mercun dan bunga api pelbagai jenis serta jenama sebanyak 273.10 kilogram bernilai RM16,582 dan melibatkan cukai RM10,827.88," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata, tiga kenderaan yang dipercayai diseludup dari negara jiran turut dirampas iaitu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Ipsum dan dua kereta jenis Honda Civic, yang kesemuanya bernilai RM70,000.




Katanya, kesemua kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dan tidak dilindungi insurans itu telah digunakan dalam tempoh yang lama.

Daripada empat individu yang ditahan terbabit, seorang adalah kontraktor berusia 30-an yang dipercayai menjadi dalang membekalkan mercun serta bunga api dalam dua kes berasingan selain terlibat dalam sindiket penyeludupan kereta dari negara jiran, kata Mohd Nasir.

Lelaki itu ditahan pertama kali pada 9 Julai lepas pada 10 malam apabila Kastam menyerbu sebuah kediaman di Silibin di sini.

Katanya, 66.5 kilogram pelbagai mercun serta bunga api bernilai RM10,263.83 termasuk nilai cukai ditemui selain pihaknya merampas kenderaan jenis Toyota Ipsum dan Honda Civic yang dipercayai diseludup.

"Kontraktor itu kita lepaskan dengan jaminan tapi dia kemudian ditahan dalam satu lagi kes, dia akan dihadapkan di mahkamah tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata, lelaki yang sama turut ditahan bersama-sama seorang lagi lelaki berusia 20-an pada 4 petang, 11 Julai lepas di Ipoh kerana disyaki mempromosi bahan terlarang itu melalui laman sosial Facebook.

Mohd Nasir berkata, aktiviti mempromosi bahan itu di Facebook mula dikesan minggu lepas sehingga pihak Kastam mengesan premis yang digunakan untuk penyimpanan melalui intipan.

Beliau berkata, pasukan serbuan menjumpai mercun seberat 77 kilogram bernilai RM3,360 dengan cukai terlibat sebanyak RM2,184 serta merampas sebuah kereta Honda Civic disyaki diseludup.

Selain itu, Kastam juga menahan seorang lelaki lain berusia 20-an dan seorang wanita, 60-an, dalam serbuan berasingan di sebuah kediaman di Manjoi dan Taman Sri Rapat.

Dalam serbuan pada 30 Jun dan 11 Julai itu, Kastam keseluruhannya merampas 103.3 kilogram mercun dan bunga api bernilai RM55,747.39 termasuk nilai cukai, katanya.

"Kastam sentiasa memantau rantaian penjualan bahan terlarang itu dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk terhadap mereka yang di bawah umur.

"Ini kerana ada peniaga yang menggunakan khidmat kanak-kanak dan remaja bawah umur 18 tahun terutama di bazar Ramadan dan pasar, untuk mengaut keuntungan," katanya.



Tags / Kata Kunci: Ops Ramadan , mercun , kastam

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan