Polis Tahan Dua Lelaki & Rampas Empat Kg Heroin

Diterbitkan: Isnin, 14 Julai 2014 7:24 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Polis menahan dua lelaki dan merampas 10 paket disyaki heroin bernilai kira-kira RM290,000 dalam sebuah kereta di hentian Rehat dan Rawat (RNR) Ulu Bernam, Hulu Selangor, Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Narkotik Selangor Supritendan R. Ravichandran berkata suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan pemandu lori yang berusia 25 dan 27 tahun itu, ditahan pada pukul 2.30 petang.

Katanya, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan anggota polis membuat intipan terhadap dua lelaki terbabit yang dipercayai mempunyai urusan 'jual-beli' dadah di kawasan itu.

Beliau berkata, sebaik sahaja kedua-dua lelaki terbabit menjalankan urusniaga, polis menyerbu dan menahan mereka sebelum merampas dadah berkenaan.
 
"Dadah jenis heroin ini disembunyikan dalam sebuah beg dengan berat lebih kurang 4,593 gram, selain dadah turut dirampas ialah dua buah kenderaan yang dinaiki kedua suspek," katanya.

"Pemeriksaan polis turut menunjukkan kedua-dua suspek yang berasal dari utara tanahair itu mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu bersabit kesalahan menggunakan dadah," katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Polis percaya suspek merupakan sebahagian anggota sindiket pengedaran dadah yang kini sedang bergiat aktif mencari pasaran baharu di kawasan Lembah Klang.

Ravichandran berkata sindiket itu dipercayai berpusat di kawasan utara Semenanjung dan polis sedang menjejaki saki-baki anggota sindiket itu.

Sementara itu, Ravichandran berkata polis Selangor telah menahan 12,936 individu bersabit kes dadah dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. 
 
"Daripada tangkapan itu, kita turut merampas dadah bernilai RM18.3 juta selain menyita harta individu tersebut berjumlah RM4 juta," katanya.

Tags / Kata Kunci: heroin , dadah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan