Palsu Tempoh Pas Lawatan: Chef Harap Teman Wanita Dibebaskan

Diterbitkan: Sabtu, 12 Julai 2014 7:34 PM

Siaw menunjukkan gambar teman wanitanya.

(Ubah saiz teks)

IPOH: Harapan seorang chef untuk mengahwini kekasihnya warga Vietnam yang kini mengandung tujuh bulan mungkin tidak kesampaian kerana wanita tersebut dihantar ke pusat tahanan atas kesalahan memalsukan tempoh lanjutan pas lawatan sosial miliknya.

Siaw Yong Chuong, 33, berkata, dia sepatutnya berkahwin dengan  Nguyen Thi Tuyen, 24, pada Rabu di Jabatan Pendaftaran Negara Daerah Manjung.

Namun, kekasihnya kini berada dalam jagaan polis sejak 3 Julai lalu.

Siaw mendakwa Nguyen telah pergi ke pejabat Jabatan Imigresen Daerah Manjung pada 2 Julai untuk melanjutkan tempoh pas lawatan sosialnya tetapi diarahkan untuk kembali semula ke sana keesokan harinya.

Namun, apabila tiba di pejabat itu, dia ditahan kerana pegawai mendakwa berlaku penipuan membabitkan tempoh lanjutan pas miliknya itu.

"Saya membayar seorang ejen dengan nama 'Siau Yu' RM350 untuk memperbaharui pas lawatan sosial teman wanita saya itu," katanya.

"Bagaimana kami sepatutnya tahu dia telah menipu kami? Kini, pegawai tersebut enggan menyiasat ejen tersebut dan menegaskan kekasih saya perlu dihantar pulang ke Vietnam," katanya dalam satu sidang media yang diadakan oleh penasihat DAP negeri dan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di ibu pejabat DAP negeri di sini, Sabtu.

Siaw berkata, dia dimaklumkan teman wanitanya dihantar ke pusat tahanan Langkap pada Jumaat dan seterusnya dihantar pulang ke Vietnam.

"Saya akan berdepan pelbagai masalah pada masa hadapan sekiranya anak saya dilahirkan di Vietnam.

"Saya berharap agar polis dan jabatan berkaitan akan menyiasat ejen terbabit sebelum mengambil tindakan drastik dengan menghantar teman wanita saya balik ke Vietnam," katanya.

Ngeh mendakwa pegawai di Jabatan Imigresen enggan menyiasat ejen terbabit.

"Ejen itu boleh dikesan dengan mudah kerana Siaw Yong tahu dimana dia tinggal," katanya.

Ketika dihubungi, Pengarah Jabatan Imigresen Perak, Ahmad Syam Che Kub berkata setem pas lawatan sosial pada pasport wanita tersebut adalah palsu dan wanita itu boleh didakwa dibawah undang-undang imigresen.

Beliau berkata wanita itu bagaimanapun akan dihantar pulang atas dasar kemanusiaan.
Tags / Kata Kunci: chef , kekasih , Vietnam , pasport palsu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan