Lapan Kenderaan Rosak Dirempuh Bas Kilang

Diterbitkan: Jumaat, 11 Julai 2014 5:04 PM

(Ubah saiz teks)

BATU KAWAN: Lapan kenderaan rosak teruk apabila dilanggar sebuah bas kilang ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Tambun Indah, Jalan Bukit Tambun di sini, Khamis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafien Mamat berkata ketika kejadian pukul 7.40 pagi itu, semua kenderaan terlibat dari arah Simpang Ampat ke Bukit Tambun dan dalam perjalanan ke tempat kerja.

"Siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca daripada sistem brek bas yang rosak hingga menyebabkannya gagal dikawal dan bas itu melanggar deretan kenderaan di hadapannya yang ketika itu berhenti di lampu isyarat.

"Bas itu tidak membawa penumpang dan lapan pemandu kenderaan terlibat juga tidak cedera walaupun kereta mereka rosak teruk," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan mengambil keterangan daripada pemandu bas berusia lingkungan 40-an itu bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Shafien berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung seorang kanak-kanak lelaki nyaris diculik ketika diminta menunjuk arah jalan kepada seorang lelaki dalam kejadian 8 Julai seperti yang kini tersebar dalam laman sosial.

"Sehingga hari ini kami tidak menerima sebarang laporan polis mengenai kejadian itu malah di SPS juga tiada kes penculikan seperti itu berlaku," katanya.

Surat yang menggunakan kepala surat 'Pertubuhan Sukarela Keselamatan dan Kebajikan Islam Kerian Perak' itu mula tersebar dalam Facebook dan Whatsapp sejak semalam memaklumkan kejadian seorang kanak-kanak yang menunaikan solat Tarawih di sebuah masjid di Nibong Tebal, dekat sini nyaris diculik lelaki yang memujuk kanak-kanak itu menunjukkan arah jalan ke Parit Buntar, Perak.

Menurut surat itu, kanak-kanak berkenaan mengikut lelaki terbabit menaiki sebuah motosikal sehingga ke Jalan Sekolah Parit Buntar. Kanak-kanak itu dikatakan berjaya melepaskan diri apabila menyedari bahawa dia sebenarnya akan diculik kerana lelaki itu membawanya menghampiri sebuah van berwarna putih.

Surat yang dialamatkan kepada semua pengerusi masjid dan surau dalam daerah Kerian, Bandar Bahru dan Nibong Tebal itu turut meminta pengurusan masjid memaklumkan kepada kanak-kanak yang menghadiri solat Tarawih supaya berhati- hati sekiranya didatangi orang yang tidak dikenali.


Tags / Kata Kunci: Bas Kilang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan