Kebakaran Di Medan Selera 1 Utama Sebabkan Kesesakan

Diterbitkan: Jumaat, 11 Julai 2014 12:14 PM

Medan selera di 1 Utama terbakar kira-kira pukul 9.30 pagi Jumaat.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kebakaran di medan selera di pusat membeli-belah 1 Utama di sini, pagi Jumaat menyebabkan kesesakan teruk di Lebuhraya Damansara-Puchong kerana pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan masing-masing untuk melihat insiden itu.

Seorang jurucakap 1 Utama ketika dihubungi mengesahkan berlaku kebakaran kecil di medan selera Food Republic di sayap baharu, pusat membeli-belah itu.

"Kami boleh mengesahkan terdapat kebakaran kecil yang bermula dari dapur sebuah kedai di dalam Food Republic. Kebakaran itu tidak merebak dan berjaya dipadamkan," katanya.

Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kebakaran itu kerana pusat membeli-belah itu mula dibuka kepada orang ramai pada pukul 10 pagi.

"Pihak pengurusan sedang menunggu laporan punca kebakaran itu dan akan menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan," katanya.

Seorang jurucakap dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Damansara Utama berkata, kebakaran itu berjaya dipadamkan oleh kakitangan pusat membeli-belah terbabit sebaik bomba tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi.

"Kebakaran bermula daripada kipas pengudaraan yang tidak dapat menyerap api sepenuhnya daripada gril milik sebuah kedai," katanya.

Tags / Kata Kunci: kebakaran , 1 Utama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan