'Geng Pak Tam' Aktif Curi Motosikal Tumpas - Berita Jenayah | mStar

'Geng Pak Tam' Aktif Curi Motosikal Tumpas

Diterbitkan: Khamis, 10 Julai 2014 6:32 PM

(Ubah saiz teks)

NIBONG TEBAL: Polis menumpaskan satu kumpulan curi motosikal dikenali sebagai 'Geng Pak Tam' apabila menahan lima lelaki dalam operasi di sini pada Selasa dan Rabu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supt Shafien Mamat berkata seorang daripada mereka ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Nibong Tebal pada Selasa manakala empat lagi diberkas dalam operasi susulan di sekitar daerah ini.

"Geng Pak Tam itu baru bergiat aktif mencuri motosikal sepanjang bulan Ramadan ini dengan menyasarkan motosikal di kawasan masjid ketika jemaah solat tarawih," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata siasatan awal terhadap kesemua suspek berusia 18 hingga 25 tahun itu mendapati mereka mengaku mencuri motosikal serta meleraikan komponennya dan dijual kepada pihak tertentu.

Rangka motosikal itu dibuang di beberapa sungai di sekitar SPS dan Bandar Baharu, Kedah dekat sini, katanya sambil memberitahu ada juga motosikal yang dicuri itu diubah suai dan digunakan untuk lumba haram.

Shafien berkata dengan penahanan lima lelaki terbabit, polis percaya dapat menyelesaikan 18 kes curi motosikal yang dilapor di daerah SPS sepanjang bulan puasa ini.

Beliau berkata polis kini mengesan tiga lagi anggota geng berkenaan dan percaya mereka masih berada di sekitar daerah ini.
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan