Pemalsuan MyKad: 150 Individu Ditahan

Diterbitkan: Isnin, 7 Julai 2014 1:00 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menahan 105 individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pemalsuan MyKad sejak September tahun lepas hingga April ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mereka yang ditahan itu terdiri daripada anggota sindiket dan individu yang bergerak aktif menjalankan kegiatan berkenaan bagi mengaut keuntungan.

"Berdasarkan siasatan, kita mendapati mereka yang ditahan itu terdiri daripada tiga kategori utama iaitu sindiket yang menyasarkan warga asing yang berhajat menjadi warganegara Malaysia.

"Dua lagi ialah individu yang mengenakan bayaran tertentu kepada pihak yang mahukan kad pengenalan dan individu yang melaksanakan aktiviti itu secara berkala dengan menumpukan di kawasan tertentu terutama di ladang serta kawasan perumahan yang mempunyai warga asing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Warga KDN Pulau Pinang di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang, di sini hari ini. Turut hadir pada majlis itu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi.

Ahmad Zahid berkata antara yang ditahan sepanjang tempoh berkenaan adalah warga asing daripada beberapa negara yang dipercayai bertindak sebagai ejen.

Katanya setakat ini tiada penjawat awam terutama daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ditahan dalam aktiviti pemalsuan MyKad.

Beliau berkata MyKad palsu itu tidak mempunyai 13 ciri khas seperti yang terdapat pada kad tulen, malah tiada butiran maklumat dalam sistem berkomputer JPN yang boleh diimbas menerusi mesin pengimbas.

Ahmad Zahid turut menafikan KDN melantik ejen untuk memudahkan urusan bagi memohon MyKad kerana pihaknya mempunyai 41 pejabat JPN di seluruh negara.

"Saya minta orang ramai jangan terpedaya atau percaya dengan pihak yang cuba menawarkan kad pengenalan kerana kita tidak pernah lantik mana-mana ejen.

"Lagipun urusan pemprosesan MyKad hanya memakan masa 24 jam dan bukan berminggu seperti yang didakwa mereka (ejen)," katanya.

Tags / Kata Kunci: MyKad

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan