Restoran Tawar Berbuka Puasa Disamping Arak

Diterbitkan: Isnin, 7 Julai 2014 12:36 PM

Penguatkuasa Jakim dan PPDNKK melakukan pemeriksaan di sebuah restoran yang menyajikan arak dan mengajurkan bufet Ramadan di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur pada Isnin.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebuah restoran yang menyajikan arak secara terbuka kepada pelanggan di Jalan Yap Kwan Seng di sini dikesan turut mengadakan promosi bufet Ramadan kepada masyarakat Islam.

Promosi restoran itu terbongkar selepas premis tersebut diserbu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kuala Lumpur dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Penolong Pengarah Hab Halal Jakim, Muhammad Khalid Osman berkata, ia merupakan operasi ‘Ops Bufet Ramadan’ mendapati restoran berkenaan yang menawarkan promosi bufet Ramadan itu tidak mempunyai sijil halal.

Operasi yang diketuai beliau di restoran di sekitar kawasan segi tiga emas ibu negara itu bermula pada pukul 11.30 pagi, berdasarkan maklumat daripada orang ramai.

“Kita dapati restoran ini tidak mempunyai sijil halal, tetapi menawarkan promosi bufet Ramadan kepada orang ramai. Kita turut merampas sejumlah minuman beralkohol yang diperolehi semasa operasi.

“Kita telah mengarahkan pihak restoran supaya menurunkan kain pemidang promosi bufet Ramadan itu diturunkan dan menghentikan promosi tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan operasi di restoran berkenaan di sini, Isnin.


Restoran itu menawarkan promosi bufet Ramadan yang menyediakan masakan Melayu dan Arab pada harga RM75 untuk dewasa dan RM35 (kanak-kanak).


Pegawai penguat kuasa menurunkan kain pemidang promosi bufet Ramadan di restoran berkenaan.

Ditanya mengenai tindakan terhadap restoran tersebut, Muhammad Khalid berkata, ia masih dalam siasatan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011. 


Dalam pada itu katanya, pemeriksaan akan diteruskan ke setiap premis makanan termasuk dapur hotel yang mempromosikan bufet Ramadan.

“Setakat ini, kita menerima aduan orang ramai terhadap lebih 10 premis yang menawarkan bufet Ramadan tanpa sijil halal atau menyediakan minuman beralkohol.

 

“Kita akan mempergiatkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan selepas ini,” katanya yang mengetuai operasi bersepadu itu.

 

Ops Bufet Ramadan tersebut merupakan yang pertama tahun ini sejak umat Islam mula berpuasa pada 29 Jun lalu.


Tambahnya, operasi berkenaan membabitkan tujuh pegawai Jakim, enam penguat kuasa PPDNKK Kuala Lumpur dan tiga anggota Jawi.


Selain dikesan tiada sijil halal dan mempunyai minuman beralkohol, operasi itu turut meneliti barangan asas yang digunakan dalam makanan bufet Ramadan.


Tags / Kata Kunci: Ramadan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan