105 Individu Ditahan Terbabit Dalam Aktiviti Pemalsuan MyKad

Diterbitkan: Jumaat, 4 Julai 2014 9:30 PM

Ahmad Zahid menunjukkan kad pengenalan palsu semasa mengadakan sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di George Town pada Jumaat. Foto BERNAMA

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menahan 105 individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pemalsuan MyKad sejak September tahun lepas hingga April ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka yang ditahan itu terdiri daripada anggota sindiket dan individu yang bergerak aktif menjalankan kegiatan berkenaan bagi mengaut keuntungan.

"Berdasarkan siasatan, kita mendapati mereka yang ditahan itu terdiri daripada tiga kategori utama iaitu sindiket yang menyasarkan warga asing yang berhajat menjadi warganegara Malaysia.

"Dua lagi ialah individu yang mengenakan bayaran tertentu kepada pihak yang mahukan kad pengenalan dan individu yang melaksanakan aktiviti itu secara berkala dengan menumpukan di kawasan tertentu terutama di ladang serta kawasan perumahan yang mempunyai warga asing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Warga KDN Pulau Pinang di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang, di sini Jumaat. Turut hadir pada majlis itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi.

Ahmad Zahid berkata, antara yang ditahan sepanjang tempoh berkenaan adalah warga asing daripada beberapa negara yang dipercayai bertindak sebagai ejen.

Katanya, setakat ini tiada penjawat awam terutama daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ditahan dalam aktiviti pemalsuan MyKad.

Beliau berkata, MyKad palsu itu tidak mempunyai 13 ciri khas seperti yang terdapat pada kad tulen, malah tiada butiran maklumat dalam sistem berkomputer JPN yang boleh diimbas menerusi mesin pengimbas.

Ahmad Zahid turut menafikan KDN melantik ejen untuk memudahkan urusan bagi memohon MyKad kerana pihaknya mempunyai 41 pejabat JPN di seluruh negara.

"Saya minta orang ramai jangan terpedaya atau percaya dengan pihak yang cuba menawarkan kad pengenalan kerana kita tidak pernah lantik mana-mana ejen.

"Lagipun urusan pemprosesan MyKad hanya memakan masa 24 jam dan bukan berminggu seperti yang didakwa mereka (ejen)," katanya.


Tags / Kata Kunci: MyKad , Ahmad Zahid Hamidi

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan