Perang Rokok Haram

Diterbitkan: Selasa, 1 Julai 2014 9:57 AM

Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan (kanan), Dr Chong Chee Keong bersama dengan Ketua Unit Vektor Kawalan Penyakit, Dr B. Venugopalan (kiri).

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan bersama agensi berkaitan mengeluarkan sebanyak 17,139 saman terhadap pihak yang didapati terlibat dalam penjualan, pembelian dan pemilikan rokok secara haram di seluruh negara.

Berkuat kuasa 1 Januari lalu, Peraturan 15(4A) di bawah di bawah pindaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 menyatakan, menjual atau menawarkan untuk menjual, membeli atau memiliki sebarang kotak atau karton rokok yang tidak dicetak dengan amaran kesihatan bergambar adalah dilarang.

Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr Chong Chee Kheong berkata, notis saman itu dikeluarkan melalui 3,493 operasi penguatkuasaan sehingga Mei tahun ini.

“Notis yang dikeluarkan itu meliputi pelbagai jenis kesalahan, termasuk membeli dan menjual rokok tidak sah.

“Kementerian bersama agensi lain melakukan operasi secara besar-besaran bagi menangani penjualan dan pembelian rokok berkenaan,” katanya kepada The Star.

Tambah Dr Chong, Peraturan 15 merupakan keperluan untuk pelabelan dan pembungkusan pada paket atau karton rokok.

Sebarang paket atau karton rokok yang tidak memenuhi keperluan itu dianggap sebagai tidak sah atau melanggar undang-undang.

“Peraturan itu selari dengan Akta Kastam 1967 dalam usaha untuk membanteras rokok haram di negara ini.

“Penguatkuasaan peraturan ini sentiasa dilaksanakan agensi lain yang menumpukan kepada peraturan kawalan tembakau,” katanya.

Dr Chong berkata, selain penguatkuasaan dalam melaksanakan tindakan undang-undang, kesedaran awam turut memainkan peranan penting dalam menangani isu itu.

“Bersama Jabatan Kastam, kita turut meningkatkan kesedaran awam mengenai perkara ini dan berharap perokok faham bahawa membeli atau memiliki walaupun hanya sebatang rokok tidak sah merupakan kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Mengenai penglibatan antara agensi termasuk Jabatan Kastam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Dr Chong berkata, kerjasama berkenaan memperkukuhkan lagi gerakan penguat kuasa dalam menangani isu rokok haram.

“Kementerian mempunyai kawalan yang terhad terhadap rokok di bawah peruntukan  PPKHT 2004 yang hanya melibatkan peringkat penjual dan pengguna, maka kerjasama antara agensi berkaitan membolehkan kerajaan mengenal pasti dan membanteras rangkaian rokok haram secara menyeluruh dari pembekal kepada pengguna.

“Polis dan pihak berkuasa tempatan juga membantu kementerian dalam menguatkuasakan peraturan di bawah PPKHT 2004, termasuk membanteras rokok haram dan kerjasama itu akan berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai bekalan barangan berkenaan, Jabatan Kastam telah merampas rokok haram bernilai lebih RM7 juta dengan cukai tidak dibayar berjumlah RM66.57 juta di bawah operasi khas yang dinamakan “Ops Outlet”.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, menerusi Ops Outlet, pihak yang ditahan kerana menjual barang larangan itu akan berhadapan hukuman maksimum tiga tahun atau denda sehingga 20 kali ganda daripada nilai rampasan atau kedua-duanya sekali, di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Pesalah berulang pula akan berhadapan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda 40 kali ganda nilai rampasan.

“Setakat Mei tahun ini, kita telah melakukan serbuan terhadap 2,618 premis di seluruh negara dan menahan seramai 686 suspek sejak operasi itu dilancarkan pada Mac.

“Pada masa ini, 35 peratus daripada jumlah rokok yang dijual di negara ini adalah tidak sah. Di bawah Ops Outlet, kita menyasarkan untuk mengurangkan bilangan itu kepada sekurang-kurangnya 30 peratus tahun ini,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penjualan rokok haram boleh menghubungi jabatan di talian 1-800-888-855.

Kajian mendapati rokok haram mengandungi kadar logam toksik yang lebih tinggi berbanding rokok yang dibenarkan.

Tahap kadmium turut meningkat 6.5 kali lebih tinggi berbanding jenama tulen. Ia turut mengandungi talium (4.9 kali ganda) dan plumbum (13.8 kali ganda).

iklan

Video

Khamis, 24 Ogos 2017 12:38 PM

Wan Sharmila Kena 'Badi' Cinta

Khamis, 24 Ogos 2017 9:00 AM

Susunan Lagu Dari Sweden Gagal Takluk Persis

Rabu, 23 Ogos 2017 3:00 PM

Shuib Sepahtu 'Kuat' Cari Duit!

Rabu, 23 Ogos 2017 12:00 PM

Ayda Jebat Impi 'Mata' Tercalon Anugerah

Rabu, 23 Ogos 2017 9:00 AM

Keghairahan Shahrol Shiro Makan Diri?

Selasa, 22 Ogos 2017 12:00 PM

Sakan! Shiha Zikir Kini Hidup Mewah

Selasa, 22 Ogos 2017 9:00 AM

Tania Hudson Tak jangka Kembali Aktif

Isnin, 21 Ogos 2017 12:59 PM

Hafiz Tak Mengaku Saya Isteri - Joy Revfa

Isnin, 21 Ogos 2017 9:00 AM

#BiziBody: Syafiq Kyle Pentingkan Penampilan

Kolumnis

iklan

Iklan