Kes Bunuh: Polis Buru Geng Tono

Diterbitkan: Selasa, 1 Julai 2014 3:02 PM

(Ubah saiz teks)

MIRI: Polis Miri yakin dapat menyelesaikan kes pembunuhan seorang pemandu van warganegara Indonesia dengan tertangkap seorang suspek juga warga Indonesia dipercayai anggota Geng Tono malam Isnin.

Ketua Polis Miri ACP Gan Tian Kee berkata, suspek lelaki berbangsa Bugis berusia 32 tahun itu ditangkap pada pukul 11.15 malam tadi di Batu Niah Food Court.

"Suspek berkerja di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran," katanya pada Selasa.

Gan berkata, suspek dan enam rakan lain dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan rakan senegara pada 26 Jun lalu.

"Ketua geng yang hanya dikenali sebagai Tono kini sedang diburu bersama-sama dengan anggota kumpulan lain,"katanya.

Dalam kejadian pada 26 Jun lalu, pemandu van itu yang hanya dikenali dengan nama Anuar meninggal dunia kerana cedera parah selepas terlibat dalam pergaduhan.

Mangsa dijumpai oleh rakannya di sebuah pondok di tepi jalan Km66.8 Miri-Bintulu dalam keadaan terbaring berlumuran darah dengan luka di kiri pinggang dipercayai ditikam, lebam kedua-dua belah mata dan dahi serta berlaku pendarahan hidung.

Dalam perkembangan lain, Gan berkata, polis Miri telah berjaya menyelesaikan dua kes samun dan cubaan merogol termasuk melibatkan seorang guru wanita pada 16 Jun lalu berikutan pendakwaan ke atas suspek utama kes tersebut Aspin Amut seorang lelaki rakyat tempatan berusia 20-an.

Beliau berkata, Aspin didakwa atas pertuduhan merompak dan mencabul di Mahkamah Sesyen di sini petang semalam.


Tags / Kata Kunci: Polis , Geng Tono

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan