Sindiket Judi Bola Sepak Pertaruh RM7.5 Juta Sehari Tumpas

Diterbitkan: Khamis, 26 Jun 2014 3:32 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket perjudian perlawanan bola sepak Piala Dunia 2014 yang membuat pertaruhan RM7.5 juta sehari, berikutan penahanan empat individu di ibu negara, Rabu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman DCP Datuk Mazlan Mansor berkata hasil maklumat dan risikan selama empat minggu menerusi Op Soga V, pasukannya menahan kesemua suspek berumur antara 20 dan 32 tahun di sebuah premis di Kompleks Metro Pudu di sini pada 4.30 petang.

Beliau berkata polis merampas tiga komputer riba, dua iPad, dua kemudahan jalur lebar dan 30 buku log yang tercatat angka pertaruhan bola sepak.

"Mereka ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seskyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953 kerana dipercayai mereka menjadi ejen sindiket pertaruhan," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Siasatan awal mendapati ejen yang ditahan itu mempunyai 1,500 pelanggan dengan had kredit pertaruhan RM5,000 sehari, katanya.

Mazlan berkata pada 6 petang hari sama, JSJ turut merampas 12 alat server yang disyaki terdapat laman web perjudian membabitkan rangkaian perjudian di rantau Asia Pasifik.

"Ini merupakan kali pertama kita merampas server yang digunakan untuk tujuan perjudian. Kita masih menyiasat laman web yang digunakan untuk perjudian dan tindakan seterusnya akan diambil," katanya.

Sejak Op Soga V bermula 12 Jun lepas, 194 individu ditahan di seluruh negara kerana disyaki terbabit dalam aktiviti perjudian haram bola sepak yang menyaksikan RM175,000 wang tunai dirampas.

Kejayaan hasil serbuan itu turut dinyatakan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi catatan di laman Twitternya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan