Polis Berkas Lima Individu, Rampas Dadah Bernilai RM2.2 Juta

Diterbitkan: Selasa, 24 Jun 2014 8:22 PM

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim (tengah) menunjukkan hasil rampasan dadah selepas berjaya menumpaskan dua sindiket dadah antarabangsa semasa sidang media di Bukit Aman, Selasa. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis memberkas lima individu termasuk sepasang suami isteri selain merampas dadah bernilai RM2.2 juta menerusi operasi berasingan dalam tempoh empat hari sejak 19 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata empat daripada mereka termasuk pasangan suami isteri itu dipercayai anggota satu sindiket manakala seorang lagi merupakan keldai dadah.

Tangkapan pertama dilakukan pada 10.30 malam, 19 Jun lepas apabila polis yang menerima maklumat awam menahan sebuah kereta dinaiki sepasang suami isteri di Nilai, Negeri Sembilan, katanya dalam sidang media, di sini Selasa.

Menurut Noor Rashid, pemeriksaan ke atas kereta suspek menemukan lima buah kotak mengandungi 391,900 biji pil psikotropik.

"Sejam selepas penahanan pasangan suami isteri itu, polis memberkas dua lagi rakan mereka iaitu seorang lelaki warga India dan seorang lelaki tempatan yang berada di dalam sebuah kereta mewah di tepi jalan di Putrajaya," katanya.

Polis percaya lelaki warga India itu adalah dalang sindiket pengedaran dadah berkenaan kerana dadah jenis psikotropik tersebut dibawa masuk dari India.

Noor Rashid berkata pada pukul 10 malam, 22 Jun lepas, polis menahan seorang lelaki Pakistan yang baru tiba dari Doha, Qatar, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Pemeriksaan badan terhadap lelaki itu menemukan lapan bungkusan plastik berisi dadah jenis syabu seberat 1.6 kilogram yang diikat pada betis kedua-dua belah kaki suspek, katanya. 

Kesemua suspek berumur antara 23 dan 42 tahun terbabit kini ditahan reman untuk membantu siasatan menurut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan membawa hukuman gantung sampai mati.
Tags / Kata Kunci: dadah , Datuk Noor Rashid Ibrahim

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan