Judi Piala Dunia: 5 Ditahan Di Kuantan, 3 Di Sabah

Diterbitkan: Jumaat, 20 Jun 2014 7:45 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Tiga lelaki tempatan yang disyaki bookie ditahan ketika sedang menjalankan aktiviti pertaruhan sempena perlawanan bola sepak Piala Dunia pada 'Ops Soga V' di sekitar Inanam, dekat sini, petang Khamis.

Ketua Polis Kota Kinabalu, ACP Jauteh Dikun berkata dalam dua serbuan berasingan pada kira-kira pukul 2 petang, ketiga-tiga suspek berusia 30-an itu ditahan setelah didapati melakukan aktiviti pertaruhan sepanjang perlawanan Piala Dunia 2014.

"Dalam serbuan pertama, pihak kami menahan dua individu dan merampas wang tunai RM600 beserta beberapa barangan lain seperti telefon bimbit yang dipercayai digunakan kedua suspek.

Seorang lagi suspek ditahan di sekitar kawasan sama di Inanam dan kita berjaya merampas wang tunai RM4,600 dan juga beberapa peralatan lain dipercayai bagi aktiviti pertaruhan tersebut termasuk telefon bimbit dan kertas (pertaruhan)," katanya.

Jauteh berkata kesemua bahan rampasan dan tangkapan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953.

Di KUANTAN, polis menahan lima lelaki dipercayai terlibat dengan sindiket perjudian bola sepak Piala Dunia 2014 melibatkan wang pertaruhan RM100,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Zakaria Ahmad berkata mereka yang berusia dalam lingkungan 30-an ditahan secara berasingan dalam Ops Soga sejak beberapa hari lepas.

"Pada 1.40 pagi tadi, seorang lelaki ditahan di sebuah kopitiam dekat Jalan Air Putih di sini kerana disyaki menerima pertaruhan judi bola sepak.

"Suspek ditahan ketika sedang menjalankan urusan jual beli dengan pengguna melalui Internet. Polis turut merampas sebuah iPad dan beberapa kad sim telefon," katanya kepada pemberita, Jumaat.

Selain itu, tiga lelaki ditahan di Kuantan manakala masing-masing satu di Kuala lipis dan Temerloh.

Dalam serbuan berasingan itu, polis merampas wang tunai RM1,680, sebuah komputer, iPad, lima buah telefon bimbit dan dua modem wifi yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pertaruhan itu.

"Mengikut Seksyen 6, Akta Pertaruhan 1953, penganjur boleh dikenakan denda maksimum RM200,000 dan penjara lima tahun manakala pemain judi boleh didenda tidak melebihi RM5,000 dan penjara tidak lebih enam bulan," katanya.

Menurutnya sindiket itu dipercayai berurusan dengan menggunakan telefon bimbit dan laman web perjudian antarabangsa.

Dalam perkembangan berkaitan, Zakaria berkata polis menahan 1,135 orang dipercayai terbabit aktiviti mesin judi dalam 176 serbuan di seluruh Pahang sejak Januari sehingga semalam.

"Dalam serbuan itu, polis merampas 3,762 unit komputer yang dipercayai digunakan dalam aktiviti perjudian itu dan wang tunai RM73,815," katanya.

Kuantan adalah daerah tertinggi terbabit dengan aktiviti mesin judi ini diikuti Temerloh dan Mentakab.
Tags / Kata Kunci: bookie , judi Piala Dunia , sindiket

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan