242 Komputer Bernilai RM200,000 Dilupuskan

Diterbitkan: Selasa, 17 Jun 2014 4:45 PM

Komputer yang dipasang permainan judi dilupuskan selepas mendapat perintah mahkamah.Gambar Hiasan.

(Ubah saiz teks)

KEPALA BATAS: Sebanyak 242 unit komputer bernilai RM200,000 yang diubah suai dan dipasang dengan permainan judi, dilupuskan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU), Selasa.


Ketua Bahagian Pengurusan IPD SPU, Deputi Superintendan Abdul Aziz Daud berkata, pelupusan komputer itu yang melibatkan 19 kes dari 2009 hingga 2013 dibuat setelah mendapat perintah mahkamah.

"Kami melakukan pelupusan selepas 19 kertas siasatan berkaitan kes perjudian di sekitar daerah ini diselesaikan dan pertuduhan selesai dilakukan di mahkamah.

"Kebanyakan premis judi yang diserbu menjalankan kegiatan secara tersembunyi malah mempunyai lesen perniagaan, namun set komputer itu dirampas kerana menawarkan permainan judi," katanya kepada pemberita selepas pelupusan komputer berkenaan, di sini.

Beliau berkata, semua peralatan itu disita menurut kesalahan di bawah Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan serta Seksyen 4 Akta MPSP iaitu berniaga tanpa lesen Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, polis menahan 28 orang termasuk seorang wanita membabitkan sembilan kes dalam Ops Cantas Bersepadu yang dijalankan polis daerah SPU selama lima hari berakhir Ahad lepas.

"Mereka yang ditahan dalam operasi di beberapa hotel bajet di daerah ini berusia 17 hingga 47 tahun yang terlibat dalam kes berkaitan dadah, pecah rumah, pusat hiburan tanpa lesen dan judi," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menasihatkan pengguna Lebuhraya Utara Selatan yang berhenti rehat di kawasan Tol Sungai Dua di sini agar berhati-hati berikutan kerap berlaku kegiatan pecah kereta di kawasan itu.

"Sepanjang bulan ini sahaja kami menerima lima laporan berhubung kes pecah kereta yang dilakukan penjenayah bermotosikal. Mereka dipercayai aktif di kedua-dua arah perhentian tol pada waktu tengah malam hingga 5 pagi.

"Siasatan awal polis mendapati, penjenayah yang melakukan kegiatan secara berpasangan itu melarikan diri secara menongkah arus bagi mengelak ditahan," katanya.


Tags / Kata Kunci: komputer , judi , IPD Seberang Perai Utara

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan