Polis Siasat Mangsa Kemalangan Terbabit Sindiket Pemerdagangan Manusia

Diterbitkan: Isnin, 16 Jun 2014 9:47 PM

Pemandu kereta yang membawa 10 warga Myanmar tanpa dokumen yang disyaki terbabit dalam kegiatan sindiket pemerdagangan manusia dimasukkan ke wad Hoshas.

(Ubah saiz teks)

TEMERLOH: Polis sedang menyiasat sama ada lelaki tempatan yang membawa 10 warga Myanmar di dalam kereta Honda Accord yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 134.1 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dekat Temerloh awal pagi Isnin terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia.


Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Annuar Othman berkata, siasatan dilakukan daripada pelbagai aspek, termasuk sama ada suspek berusia 29 tahun itu bergerak secara sendirian ataupun terlibat dengan rangkaian sindiket yang lebih luas.

"Suspek yang juga pemandu kereta Honda Accord terbabit masih dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat kecederan parah yang dialami.

"Dia kini masih dirawat di Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas), di sini dan soal siasat akan dilakukan sebaik dia sedarkan diri," katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh di sini, Isnin.

Katanya, siasatan awal polis juga mendapati lelaki berkenaan mempunyai satu rekod jenayah lampau iaitu mencuri pada 2003.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi, empat warga Myanmar maut, manakala tujuh lagi termasuk pemandu warga tempatan cedera setelah kereta Honda Accord yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan.

Identiti kesemua warga Myanmar yang berumur 20-an hingga 30-an itu sukar dikenal pasti berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui dan dipercayai masuk ke negara ini secara haram.

Kereta yang dipandu oleh Che Mohd Azuwan Che Hashim, 29, berasal dari Tanah Merah, Kelantan membawa 10 warga Myanmar itu dipercayai bertolak dari Rantau Panjang, Kelantan ke Kuala Lumpur dari pukul 6.30 petang semalam.

"Kita percaya kemalangan berlaku akibat lebih muatan menyebabkan kenderaan yang mereka naiki terbabas sebelum masuk ke dalam longkang dan terbalik sehingga empat mangsa tercampak keluar dan mati di tempat kejadian.

"Kita masih menyiasat sama ada kereta itu telah diubah suai untuk mengangkut kesemua 10 warga asing berkenaan. Ia masih sukar dipastikan memandangkan kenderaan tersebut dalam keadaan remuk," katanya.

Kereta berkenaan juga menggunakan cermin gelap menyebabkan kegiatan lelaki itu yang menyumbat 10 penumpang dalam kereta tersebut tidak disedari.

Katanya, empat warga daripada tujuh mangsa yang cedera dibenarkan keluar dari hospital dan telah ditahan polis kira-kira pukul 5 petang tadi bagi membantu siasatan.

"Sehingga kini, hanya tiga mangsa masih dirawat di hospital berkenaan termasuk pemandu," katanya.

Beliau turut menafikan LPT dijadikan sebagai laluan membawa masuk pendatang asing kerana masih banyak laluan lain yang turut digunakan untuk laluan keluar masuk ke ibu kota itu.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan