Perompak Larikan RM100,000 Daripada Mesin ATM

Diterbitkan: Jumaat, 13 Jun 2014 9:36 PM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Sekumpulan perompak melarikan kira-kira RM100,000 daripada sebuah mesin ATM yang ditempatkan di Bangunan Tabung Haji, Jalan Tunku Ibrahim di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, perompak yang dipercayai lebih daripada tiga orang, menggunakan alat pengimpal untuk memotong mesin ATM milik BAnk Rakyat itu dan melarikan wang berkenaan selepas alat penggera berbunyi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Daerah Kota Setar DSP V.Saravanan berkata penjenayah itu mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengumpil satu daripada mesin ATM yang terletak berderetan di situ sebelum membawa lari sebuah kotak berisi wang.
 
"Kami masih menyiasat suspek kerana kamera litar tutup di situ dipercayai sempat dimatikan oleh perompak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu Juruteknik Alat Penggera dan Kamera Litar Tertutup Syarikat Safeguard G4S, Jusnaidi Johari yang turut membantu memeriksa tempat kejadian berkata rompakan itu disedari oleh seorang kakitangan syarikat itu yang melakukan pemeriksaan harian pada kira-kira pukul 7 pagi.

Katanya hasil pemeriksaan oleh kakitangan itu mendapati mesin ATM milik Bank Rakyat telah dikopak dengan sebuah peti simpanan duit hilang.
 
"Sebuah mesin ATM Bank Islam didapati turut terkopak tetapi penjenayah tidak dapat melarikan wang kerana dipercayai ketika itu alat penggera berbunyi," katanya.


Tags / Kata Kunci: larikan wang ATM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan