Penipuan Internet: Peniaga Jangan Sampai Ditipu Pembeli

Diterbitkan: Rabu, 11 Jun 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kes penipuan di internet bagai tiada penghujungnya apabila kumpulan-kumpulan penipu terus menyasarkan laman-laman popular jualan barangan dalam talian untuk mencari mangsa.

Jika sebelum ini penjual sering dikaitkan sebagai penipu, namun trend itu telah bertukar apabila pembeli pula dikesan menipu di laman web jualan barangan dalam talian.

Penyangak dalam talian ini dilihat semakin berani apabila mereka menggunakan pendekatan yang lebih mesra, iaitu berurusan secara langsung dengan peniaga melalui telefon, menjadikan peniaga yang diumpan lebih yakin dengan mereka.

Modus operandinya cukup mudah iaitu dengan menghubungi mana-mana individu yang mengiklankan barangan yang ingin dijual dalam talian dan berpura-pura menjadi pembeli yang kononnya sangat berminat dengan barangan yang diiklankan.

Bagi memastikan mangsa lebih cepat masuk ke perangkap yang dipasang, penyangak tersebut sanggup menawarkan bayaran yang lebih tinggi daripada harga asal.

Seorang pengiklan yang enggan dikenali berkata, dia terkejut apabila dihubungi seorang 'pembeli segera' selepas tidak sampai lima minit mengiklankan kamera yang ingin dijualnya di sebuah laman jualan barang popular di negara ini.

"Tidak sampai lima minit, seseorang kononnya dari UK (United Kingdom) menghubungi saya melalui 'WatsApp' menyatakan minat untuk membeli kamera yang saya iklankan. Katanya dia mahu menghadiahkan kamera itu untuk sepupunya di Amerika Syarikat.

"Saya macam terpukau...ikutkan hati memang saya nak jual sangat kamera tu, tapi atas nasihat kawan-kawan, saya tidak segera menjualnya.

"Dia di UK dan nak belikan untuk sepupu di AS. Itu sudah membuatkan saya curiga. Kenapa mahu beli dari Malaysia?

"Lagipun dia tak banyak bertanya tentang kamera saya, tetapi terus mahu beli siap tawar untuk tambah RM300 untuk bayar 'Poslaju' ke AS. Bagaimana pula dia tahu tentang Poslaju?," katanya kepada mStar Online baru-baru ini.

Antara salinan perbualan mangsa dengan individu yang didakwa cuba menipu untuk membeli sebuah kamera.

Lebih membuatkan penjual kamera itu bimbang apabila pembeli berkenaan seolah-olah tergesa-gesa meminta maklumat tentang dirinya seperti nama penuh, nombor akaun bank dan butiran lain.

Seorang lagi mangsa yang pernah ditipu empat tahun lalu terkejut apabila taktik penipuan itu semakin berjaya memperdaya penjual barangan dalam talian.

Katanya, dia mengalami kerugian kira-kira RM2,000 gara-gara ditipu individu yang kononnya mahu membeli barang untuk sepupunya di Nigeria.

"Dia beritahu sudah masukkan duit ke dalam bank tetapi duit ditahan oleh pihak bank yang mahukan resit penghantaran item sebagai bukti. Saya percaya kerana memang saya terima emel yang dihantar oleh bank kepada saya.

"Jadi saya pergi pos barang yang saya jual, tetapi sekali lagi dia minta bayaran RM1,000 dengan alasan tertentu. Akibatnya saya kerugian lebih kurang RM2,000 berserta barang saya," katanya sambil mengakui bertindak terburu-buru ketika itu.

Seorang lelaki yang deknali sebagai Hasan pula nyaris menjadi mangsa penipuan apabila kereta yang diiklankan di internet untuk dijual mendapat pembeli dari luar negara yang sanggup membayar dengan harga lebih tinggi.

"Kami berurus niaga guna Paypal. Saya bernasib baik sebab apabila saya pergi bank untuk kesan nombor paypal itu mendapati ia merupakan maklumat palsu dan tidak wujud dalam sistem syarikat berkenaan," katanya.

Mengulas mengenai perkara ini, Penolong Pengarah Jenayah Siber dan Multimedia Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Asisten Komisioner Kamaruddin Md Din berkata, selain pembeli terdapat banyak laporan penipuan daripada penjual.

Katanya, siasatan mendapati kebanyakan mereka sebenarnya hanya mahu mendapatkan maklumat untuk menipu peniaga atau pihak ketiga dengan 
teknik 'phishing'.

"Saya menasihatkan orang ramai yang sering menjalankan urusniaga jualan di internet supaya berhati-hati dengan sesiapa sahaja, sama ada peniaga atau pembeli yang mencurigakan.

"Seboleh-bolehnya bayaran biarlah dibuat secara COD (cash on delivery)," katanya.

Pengerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia Reihana Abd Razak berkata, dalam kes peniaga yang ditipu pembeli, mereka perlu membuat tuntutan di Mahkamah Sivil.

"Jika mereka datang kepada kita, pihak tribunal nasihatkan mangsa supaya memfailkan tuntutan mereka di Mahkamah Sivil.

"Itulah satu-satunya saluran yang boleh digunakan peniaga yang mendakwa mereka ditipu," katanya.
Tags / Kata Kunci: online scam , peniaga online , sindiket

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan