Dakwaan Huntley Terlibat Pergaduhan Tidak Tepat - Polis

Diterbitkan: Ahad, 8 Jun 2014 7:30 PM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Mohd Zakaria Ahmad menafikan laporan polis sedang menyiasat dakwaan bahawa warga Britain Gareth David Huntley terlibat dalam pergaduhan sebelum dia hilang.

Beliau berkata, dakwaan pergaduhan yang dilaporkan oleh laman web berita British The Telegraph itu adalah tidak benar dan spekulasi semata-mata.

"Saya berada di Pulau Tioman pada hari Sabtu dan saya sendiri menemuramah beberapa saksi. Apa yang mereka beritahu saya bercanggah dengan apa yang ditulis wartawan asing. Laporan itu tidak tepat," kata beliau ketika dihubungi, Ahad.

The Telegraph melaporkan bahawa Huntley mungkin telah dibunuh berikutan dakwaan dia telah terlibat dalam satu pergaduhan tidak lama sebelum kehilangannya.

Artikel ini juga memasukkan dakwaan oleh seorang pemandu pelancong tempatan yang tidak dinamakan bahawa polis telah memberitahu pemilik chalet pantai tertentu bahawa leher Huntley telah dikelar.

Ia juga memetik Ketua Kampung Juara Ab Razib Ali Awang sebagai berkata bahawa kebanyakan penduduk tempatan percaya sesuatu yang tidak baik berlaku ke atas Huntley.

Mohd Zakaria berkata bedah siasat ke atas mayat Huntley menunjukkan tiada sebarang kecederaan.

Beliau bagaimanapun berkata polis juga tidak menolak kemungkinan unsur jenayah tetapi ia masih berada di peringkat awal penyiasatan.

Mengenai status siasatan terhadap punca kematian Huntley, Mohd Zakaria berkata siasatan masih berjalan dan polis kini sedang meneliti laporan Jabatan Kimia.
Tags / Kata Kunci: Gareth Huntley , pergaduhan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan