Warga Emas Maut, Dua Lelaki Parah Motosikal Berlanggar

Diterbitkan: Isnin, 2 Jun 2014 8:20 PM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Seorang warga emas maut manakala dua lagi lelaki cedera parah setelah motosikal yang mereka naiki dipercayai berlanggar sesama sendiri dalam kejadian di Km 11 Jalan Jerantut-Temerloh malam Ahad.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata Ismail Yaakob, 65, dan dua lagi yang berusia 30-an ditemui dalam keadaan terbaring di bahu kiri jalan menghala ke Temerloh.

"Sebaik menerima maklumat kira-kira 9.20 malam, polis telah bergegas ke tempat kejadian dan apabila tiba, polis mendapati warga emas berkenaan telahpun meninggal dunia manakala dua lagi parah dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya ketika dihubungi di sini Isnin.

Menurutnya kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang pekerja swasta maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Lipis-Merapoh dekat Kuala Lipis tengah hari Ahad.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, Wan Lukman Wan Ghazali, 20, dari Kelantan mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

"Mangsa sebelum itu dilapor dalam perjalanan dari arah Machang menghala ke Kuala Lumpur dan ketika tiba di tempat kejadian kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori itu," katanya.

Mayat kemudian dihantar ke Hospital Daerah Lipis untuk dibedah siasat.
Tags / Kata Kunci: warga emas , maut , kemalangan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan