Kes Tembak Ahli Perniagaan: Lelaki Bergelar 'Datuk' Antara 4 Ditahan

Diterbitkan: Isnin, 2 Jun 2014 12:04 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Tiga lelaki, termasuk seorang bergelar 'Datuk' dan seorang wanita ditahan polis kerana dipercayai terbabit dalam kes tembakan seorang ahli perniagaan di Temerloh pada Jumaat malam.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata tangkapan pertama dilakukan ke atas seorang lelaki berusia 36 tahun dan wanita terbabit, 22, di sebuah rumah di Taman Melawati, Kuala Lumpur pada kira-kira 6 pagi tadi.

"Siasatan awal mendapati suspek lelaki merupakan penyewa kenderaan yang digunakan semasa menembak mangsa.

"Susulan tangkapan itu, pada kira-kira 9.45 pagi tadi sepasukan polis berjaya menahan suspek yang dipercayai menembak mangsa di Desa View Tower, Wangsa Maju, Kuala Lumpur," katanya Ahad malam.

Beliau berkata suspek berusia 35 tahun itu merupakan warga Indonesia yang berasal dari Jawa Timur, Surabaya.

Sharifuddin berkata pemeriksaan di rumah suspek menemukan sepucuk pistol jenis revolver .38, lima kelongsong dan 45 butir peluru serta pakaian semasa menembak mangsa.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek menerima arahan daripada seorang lelaki warga Thailand, yang sebenarnya datang daripada seorang lelaki bergelar Datuk.

Bertindak atas maklumat itu, seorang lelaki berusia 48 tahun bergelar Datuk, yang dipercayai mengeluarkan arahan untuk menembak mangsa, ditahan di Taman Permai, Temerloh pukul 10 pagi tadi.

Sharifuddin berkata polis percaya motif kejadian ialah lelaki bergelar Datuk tidak berpuas hati dengan mangsa yang menuntut hutangnya sebanyak RM350,000.

"Polis kini berusaha mengesan lelaki warga Thailand yang dipercayai memberi pistol kepada suspek untuk menembak mangsa dan kesemua suspek kini ditahan di IPD Temerloh untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam kejadian pukul 8.15 malam itu, seorang ahli perniagaan berusia 37 tahun parah selepas terkena tiga das tembakan di rusuk kiri yang dilepaskan oleh seorang lelaki di depan sebuah klinik swasta di Jalan Zabidin berhampiran Stesen Bas Mentakab.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan