Lelaki Tipu 30 Pembeli Rumah Kos Rendah

Diterbitkan: Khamis, 29 Mei 2014 7:21 PM

Presiden Pertubuhan Kebajikan Global Keselamatan Malaysia T. Kamalanathan (tiga, kiri) bersama sebahagian pembeli menunjukkan salinan laporan polis kerana didakwa tertipu oleh seorang lelaki untuk mendapatkan rumah kos rendah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di Kuala Lumpur pada Khamis.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pada Khamis membuat laporan polis bersabit seorang lelaki berusia 60 tahun yang dipercayai memperdayakan 30 individu di sekitar sini sejak Disember tahun lalu dengan menawarkan rumah kos rendah.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Global Keselamatan Malaysia, T. Kamalanathan berkata modus operandi suspek ialah berjanji untuk menawarkan rumah kos rendah berharga RM33,000 seunit dan meminta wang pendahuluan sebanyak RM5,000 daripada setiap mangsa.

"Lelaki ini mengenalkan dirinya sebagai orang tengah bagi mengendalikan urusan jual beli rumah, kononnya dengan mewakili pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Suspek juga memperdayakan mangsa dengan mengatakan dia bekerja di bawah dua pegawai DBKL dari bahagian perumahan. Dia menawarkan rumah di kawasan Pantai Permai (1), Pantai Dalam," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Beliau berkata mangsa hanya menyedari mereka ditipu apabila pihak DBKL memaklumkan nama kedua-dua pegawai tersebut bukan merupakan kakitangan mereka.

Lelaki itu kemudiannya gagal dihubungi, kata Kamalanathan.

Seorang kerani syarikat swasta Louisa Chinappan, 39, berkata setelah diperkenalkan kepada lelaki tersebut oleh kenalan rapatnya, beliau mengeluarkan wang simpanannya sebanyak RM4,000 untuk menempah rumah yang dijanjikan itu.

"Lelaki itu menjanjikan resit pembayaran akan diberi kemudian. Namun apabila saya menelefonnya, dia memberitahu resit sedang dalam proses dikeluarkan dan memerlukan sedikit masa lagi, sebelum dia (lelaki itu) kemudiannya tidak dapat dihubungi lagi," katanya.

Seorang pesara K. Bhaskaran, 68, berkata beliau turut rugi RM4,000.


Tags / Kata Kunci: DBKL

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan