Polis Bongkar Makmal Proses Ketamin, Rampas Dadah RM720,000 - Berita Jenayah | mStar

Polis Bongkar Makmal Proses Ketamin, Rampas Dadah RM720,000

Diterbitkan: Isnin, 26 Mei 2014 3:42 PM

Dadah jenis ketamin yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium mewah, Jumaat lalu.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia buat pertama kalinya membongkar kegiatan memproses dadah jenis ketamin yang didalangi dua lelaki tempatan dalam serbuan di sebuah kondominium di Taman Sri Hartamas, di sini, Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, selain penahanan dua lelaki berusia 44 dan 51 tahun itu, polis turut merampas ketamin bernilai RM720,000 dan 200 biji pil ecstasy.

"Pada Jumaat lalu, pukul 7.30 malam, kita (polis) menahan dua lelaki itu di dalam sebuah kereta jenis Myvi di Taman Mutiara, Cheras bersama tiga bungkusan plastik berisi dadah ketamin seberat 2,495 gram di bahagian but kereta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini, Isnin.

Noor Rashid berkata, tangkapan itu membawa polis ke sebuah kondominium di Taman Sri Hartamas, sebelum menemui sembilan bungkusan plastik berisi ketamin seberat 9.05 kilogram (kg), dua bekas plastik lutsinar berisi ketamin seberat 2.77 kg dan empat bungkusan besar plastik berisi serbuk putih disyaki ketamin seberat 3.26 kg.

Beliau berkata, turut ditemui di dalam rumah itu, bahan-bahan kimia dan peralatan memproses dadah.

"Siasatan mendapati kedua-dua suspek menjalankan kegiatan itu sejak lapan bulan lepas dengan menjadikan kondominium yang disewa RM2,200 sebulan itu sebagai makmal.

"Mereka turut mengedarkannya ke sekitar Lembah Klang," katanya sambil menambah salah seorang suspek pernah ditahan kerana memiliki senjata berbahaya.

Noor Rashid berkata, kedua-dua lelaki yang berasal dari Sungai Petani, Kedah, direman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandotari jika disabitkan kesalahan.


   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan