Polis Tahan Tiga Militan LTTE

Diterbitkan: Ahad, 25 Mei 2014 12:18 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis Malaysia menahan tiga warga asing disyaki anggota kumpulan pengganas Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) dalam beberapa serbuan di Petaling Jaya dan Klang, Selangor pada 15 Mei lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata mereka ditangkap dalam satu operasi khas oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas.

Beliau berkata suspek menyusup masuk ke Malaysia sejak 2004 dan menjadikan negara ini sebagai pangkalan untuk mengumpul dana, menyebarkan propaganda selain berusaha mengaktifkan kembali aktiviti kumpulan LTTE khususnya di peringkat antarabangsa.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas bahan propaganda kumpulan LTTE, peralatan media dan mata wang asing 24 negara bernilai RM20,176.53," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Khalid berkata kesemua suspek dikesan menggunakan kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) untuk menetap di negara ini serta mengelak daripada diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Tambah Khalid, seorang daripada mereka memiliki permit pekerjaan atas sebuah syarikat yang tidak wujud.

Mereka kini ditahan mengikut Akta Imigresen untuk tindakan susulan.

"Polis akan bekerjasama rapat dengan pejabat UNHCR di Kuala Lumpur bagi memastikan pengganas asing tidak mengeksploitasi kemudahan kad UNHCR untuk menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi, berlindung dan menjalankan sebarang aktiviti keganasan sama ada yang boleh mengancam keselamatan Malaysia atau negara-negara luar," katanya.

Tags / Kata Kunci: LTTE , Polis

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan