AADK Cekup 11 Penagih Dadah

Diterbitkan: Jumaat, 16 Mei 2014 1:00 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah mengesan 11 individu yang didapati positif dadah hasil pemeriksaan terhadap 173 orang dalam operasi bersepadu di Jalan Indah Permai, Sepanggar, dekat sini, malam Khamis.

Pengerusi Majlis Tindakan Membanteras Dadah negeri Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata kesemua positif dadah lelaki berumur antara 18 hingga 35 tahun itu ditahan dalam operasi tiga jam bermula pada pukul 8 malam.

"Operasi bersepadu seperti ini akan diteruskan terutamanya di kawasan panas yang dikenal pasti adanya penjualan dadah dan menunjukkan kehadiran agensi penguatkuasa di kawasan yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas operasi itu di sini.

Jainab yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah berkata orang ramai perlu memberi kerjasama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat aktiviti penjualan dadah di kawasan mereka.

Dalam operasi sama, katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan turut memeriksa 500 kenderaan dan mengeluarkan 35 saman serta dua notis amaran atas pelbagai kesalahan.

Beliau berkata Jabatan Alam Sekitar pula memeriksa sepuluh kenderaan dan mengeluarkan satu kompaun dan satu notis amaran, polis mengeluarkan 14 kesalahan trafik manakala Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan mengeluarkan satu notis amaran selepas memeriksa lapan kenderaan dalam operasi itu.

Operasi diketuai Penolong Pegawai Antidadah AADK Sabah Sarif Kamaludin disertai 84 anggota daripada lapan agensi yang berkaitan.


Tags / Kata Kunci: AADK , Sabah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan