Edar Dadah, Warga Asing Hidup Mewah

Diterbitkan: Rabu, 14 Mei 2014 1:56 PM

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff ketika melihat dadah jenis Syabu, pil Ecstasy dan pil Erimin 5 yang dirampas oleh anggota bahagian siasatan jenayah narkotik dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Abade pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di Johor Baharu pada Rabu.

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah di bandar raya ini selepas menahan empat individu termasuk tiga rakyat asing dan merampas sejumlah dadah bernilai hampir RM500,000 dalam serbuan di sebuah banglo di Taman Abad, di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata lelaki tempatan dan rakyat Singapura serta wanita rakyat China dan Vietnam terbabit ditahan pada 1.10 tengah hari selepas polis menerima maklumat.

"Pemeriksaan di banglo tiga tingkat yang dimiliki seorang daripada lelaki terbabit menemui 5,131 biji pil ecstasy, 2,200 biji pil eramin 5 dan 138 gram syabu. Kesemua dadah itu dianggar mampu dibekalkan kepada 4,300 orang," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, Rabu.

Mohd Mokhtar berkata polis kemudian turut merampas dan menyita sejumlah harta bernilai RM2.9 juta termasuk rumah berkenaan, sebuah kereta Mercedes, sebuah kereta Mitsubishi Grandis dan wang tunai RM13,000.

Beliau berkata siasatan mendapati lelaki dan dua wanita rakyat asing terbabit mempunyai dokumen perjalanan yang sah ke negara ini manakala lelaki tempatan itu pula mempunyai rekod berkaitan dadah.

Mohd Mokhtar berkata keempat-empat mereka yang berumur 28 hingga 44 tahun terbabit positif dadah ecstasy dan mereka kini direman sehingga Sabtu ini untuk siasatan.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff melihat barang-barang rampasan dengan kejayaan anggotanya menumpaskan sindiket pecah rumah di daerah Kulaijaya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di Johor Baharu pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis menyelesaikan kes pecah rumah terhadap seorang pegawai kanan kerajaan di Batu Pahat selepas menahan enam lelaki, Ahad lepas.

Beliau berkata kesemua suspek yang berumur 15 hingga 26 tahun itu ditahan pada 7 malam di sekitar daerah itu dan polis menemui semula satu telefon bimbit milik mangsa daripada mereka.

"Terdahulu, polis menerima laporan daripada pegawai kanan kerajaan itu yang memaklumkan kehilangan sejumlah wang tunai dan satu telefon bimbit apabila rumahnya di Taman Sri Penggaram, Batu Pahat dipecah masuk pada 22 Mac lepas ketika beliau sedang tidur," katanya.

Menurut Mohd Mokhtar saringan ujian air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine dan mereka yang tidak memiliki rekod jenayah kini direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.


Tags / Kata Kunci: Polis , Johor , Batu Pahat

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan