Polis Tumpas Sindiket Dadah Terbesar Di Kelantan

Diterbitkan: Isnin, 5 Mei 2014 1:42 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah terbesar di Kelantan apabila merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3 juta dan menahan empat suspek di negeri ini dan tiga lagi di Kuala Lumpur.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya merampas aset milik sindiket itu yang bernilai RM1 juta.

"Seorang daripada suspek yang ditahan pada Khamis ialah anggota polis berpangkat koperal yang bertugas di sebuah balai polis di Kuala Lumpur. Kita akan menyiasat hubungannya dengan sindiket berkenaan.

"(Dengan rampasan ini) kita percaya dapat menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menjadikan Kelantan sebagai transit sebelum dadah itu dibawa ke Kuala Lumpur untuk dijadikan pusat utama pengedaran dadah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, Isnin.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan Supt Amran Ramli.

Noor Rashid berkata, sejak membuat intipan awal tahun ini, polis percaya sindiket berkenaan menjalankan operasi pengedaran dadah itu sejak setahun lalu.

"Mereka membawa masuk bekalan dadah dari negara jiran melalui pintu masuk utama dengan menggunakan kenderaan," katanya.

Beliau berkata dalam operasi bersama JSJN Bukit Aman, polis Kelantan dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) pada Khamis lepas, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah termasuk syabu sebanyak 19.31 kilogram, pil yaba (6,969 biji), ekstasi (15 biji) dan ketamin seberat 1.73 gram.

"Polis menahan tujuh lelaki termasuk dua warga Thailand yang berumur antara 24 hingga 48 tahun dalam empat serbuan di Kelantan dan tiga serbuan di Kuala Lumpur.

"Buat masa ini kita percaya masih terdapat saki baki anggota sindiket berkenaan di Kelantan dan Kuala Lumpur," katanya.

Turut dirampas ialah tujuh kenderaan pelbagai jenis termasuk sebuah motosikal yang digunakan sindiket itu.

Noor Rashid berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntuk hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

"Kesemua suspek itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kini direman selama seminggu untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa menjalinkan kerjasama erat dengan polis Thailand bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah di sempadan.


Tags / Kata Kunci: PDRM , JSJN , Datuk Noor Rashid Ibrahim , Kelantan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan