APMM Cekup Pati Dalam Bot Kumpit

Diterbitkan: Khamis, 1 Mei 2014 4:30 PM

(Ubah saiz teks)

SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan membawa masuk 10 pendatang asing tanpa izin (Pati) menggunakan sebuah bot kumpit dari Filipina ke daerah ini.

Bot itu ditahan kapal peronda APMM Daerah Maritim Sandakan (DM17) di kawasan perairan Pulau Berhala dekat sini kira-kira 7 malam Rabu.

Ketua Penguat kuasa DM17 Kapt Maritim Abdul Razak Abdul Rahman berkata dalam pemeriksaan awal mendapati 10 orang berada di dalam bot terbabit, iaitu tujuh awak-awak bersama tekong dan tiga penumpang.

Namun demikian, setelah tiba di jeti APMM di sini, hasil pemeriksaan selanjutnya mendapati 10 orang iaitu lapan lelaki dan dua wanita lagi dijumpai bersembunyi di bahagian tepi bilik jentera bot kumpit itu.

Kesemua 20 penumpang bersama awak-awak di dalam bot kumpit itu berusia setahun hingga 68 tahun, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya 19 orang yang ditahan adalah warganegara Filipina dan seorang warganegara Malaysia.

Beliau berkata warga Malaysia itu baru sahaja pulang melawat keluarganya di Kagayan, Filipina dan menggunakan perkhidmatan bot kumpit berkenaan untuk balik bekerja di Sandakan dengan dikenakan caj sebanyak RM200 sehala.

Abdul Razak berkata tekong dan awak-awak bot kumpit itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26 (A), Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima belas tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Tags / Kata Kunci: Kumpit , APMM , Sandakan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan