Polis Marin Tahan 3 Lelaki, Rampas 8,000 Rokok Seludup Di Semporna

Diterbitkan: Selasa, 29 April 2014 7:59 PM

Gambar Hiasan

(Ubah saiz teks)

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) di sini menahan tiga lelaki dan merampas 8,100 bungkusan rokok tanpa cukai bernilai RM151,531 dalam operasi di Taman Pelangi, dekat sini, Ahad.

Komander PPM Wilayah 4, Asisten Komisioner Mohamad Madun berkata, operasi itu dilakukan pada kira-kira pukul 10.30 malam oleh sepasukan PPM Semporna yang diketuai oleh Pegawai Pemerintahnya, Asisten Superintendan Mat Zawawi bersama enam anggota.

“Pihak polis mengekori sebuah kereta Proton Waja dan sebuah van jenis Toyota yang mencurigakan dari Tawau ke Semporna sebelum berjaya memintas kedua - dua kenderaan tersebut di hadapan Giat Mara, Taman Pelangi.

“Polis berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 22 hingga 43 tahun dan menemui 8,100 bungkus rokok pelbagai jenama yang disyaki diseludup dari negara jiran dan tidak membayar duti kastam,” tambah beliau.

Kesemua tahanan dan barang rampasan serta kenderaan terbabit dibawa ke markas operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut. Keseluruhan barang rampasan dianggarkan bernilai RM178,000.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 136(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut dan memindah barang berduti kastam tanpa dokumen yang sah.

Sementara itu, Mohamad berkata Pasukan Polis Wilayah 4 akan terus mempergiat usaha untuk membanteras kegiatan penyeludupan yang merugikan negara dan memberi amaran kepada pihak yang menjalankan aktiviti tersebut untuk segera memberhentikan kegiatan mereka.

Orang ramai juga diminta untuk memberi maklumat sekiranya terdapat kegiatan penyeludupan di kawasan mereka.
Tags / Kata Kunci: Polis Marin Semporna , rokok , Taman Pelangi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan