Nelayan Mati Bersujud

Diterbitkan: Rabu, 23 April 2014 9:10 AM

(Ubah saiz teks)

KEMAMAN: Seorang nelayan ditemui maut dalam sebuah bot gentian kaca dalam keadaan bersujud di jeti nelayan Kampung Bukit Kuang di sini. Selasa.

Mangsa, Yusof Ali, 65, ditemui penduduk kampung pada kira-kira 8 pagi selepas melihat mangsa tidak sedarkan diri.

Seorang saksi, Mohd Azwan Ramli, 32, berkata ketika beliau minum di sebuah warung, seorang kawan memaklumkan melihat mangsa yang sudah lebih sejam tidak bergerak dalam bot gentian kaca itu dalam keadaan bersujud.

Mohd Azwan berkata, cemas dengan keadaan rakannya itu, beliau bergegas ke jeti sebelum mendapati mangsa sudah meninggal dunia dan menemui alat sedut bagi penyakit asma di sisi arwah.

"Saya pergi ke jeti dan melihat mangsa serta memanggilnya beberapa kali namun mangsa tidak menjawab sebelum memeriksa denyutan nadi yang sudah tiada," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Mohd Azwan berkata mangsa tidak dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman kerana dia meninggal akibat penyakit asma yang dihidapi.

Sementara itu, Lijah Ismail, 64, berkata suaminya menghidap penyakit asma sejak beberapa tahun lalu namun masih meneruskan kerja sebagai nelayan yang dilakukannya sejak muda lagi.

Lijah berkata pada kira-kira 8 malam semalam suaminya pulang ke rumah sebelum ke ke jeti semula sejam kemudian dan tidak pulang lagi selepas itu.

"Saya tak ambil kisah bila arwah tak balik rumah semalam kerana menyangka dia sedang membetulkan peralatan menangkap ikan dan tidak menyangka sesuatu yang buruk berlaku padanya.

"Saya sangka dia berehat dan tidur di bangsal jeti dan turun ke laut pada awal sebelah pagi, tapi sangkaan saya tidak benar bila saya diberitahu arwah meninggal dalam bot miliknya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Che Suza Che Hitam, ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.


Tags / Kata Kunci: Kemaman , Bukit Kuang , Nelayan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan