Kilang Proses Sarung Getah Terbakar

Diterbitkan: Ahad, 20 April 2014 6:45 PM

Anggota Bomba dan Penyelamat melakukan kerja-kerja memadam kebakaran kilang sarung tangan dalam kejadian kira-kira 10 pagi Ahad di Bandar Baru Salak Tinggi. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Hampir keseluruhan gudang penyimpanan barang sebuah kilang memproses sarung tangan getah untuk kegunaan perubatan, musnah dalam kebakaran di kawasan perusahaan Bandar Baru Salak Tinggi pada Ahad.

Kejadian yang bermula 9.45 pagi itu, turut memusnahkan beberapa lori kontena pengangkut barang yang diletakkan dalam gudang berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul, berkata pihaknya menerima panggilan pada 10 pagi ini dan jentera pertama tiba tujuh minit kemudian.

"Operasi memadam kebakaran di kawasan gudang seluas kira-kira 3,716 meter persegi itu membabitkan 45 anggota daripada 11 balai bomba.

"Pihak kami berjaya mengawal kebakaran itu sejam kemudian dengan lima jentera daripada Balai Bomba Hang Tuah, Pandan, Bangi dan Seremban 2 dikerah ke tempat kejadian," katanya kepada media di sini.

Selain itu, kata beliau empat lori tangki air daripada balai bomba Cyberjaya, Banting, Sepang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang mampu membekalkan 20,000 liter air setiap kali penggunaan turut digunakan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata ketika kejadian 20 pekerja berada dalam gudang berkenaan, bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

"Kebakaran disedari oleh beberapa orang pekerja, memandangkan kilang ini beroperasi selama 24 jam, bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

"Kerja-kerja memadam kebakaran juga sedikit mencabar kerana kebanyakan bahan yang terdapat dalam gudang berkenaan adalah getah," katanya.

Jelas beliau siasatan awal mendapati ia mungkin berpunca daripada kerja penyelenggaraan yang sedang dijalankan di kilang berkenaan, bagaimanapun punca sebenar dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Tags / Kata Kunci: Kilang Sarung Tangan Getah , Bomba

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan