Polis Tahan Lapan Lelaki Terbabit Kesalahan Senjata Api

Diterbitkan: Selasa, 15 April 2014 9:18 PM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Polis Kedah menahan lapan lelaki termasuk seorang warga Myanmar berhubung kesalahan senjata api menerusi lima operasi Ops Cantas Khas bagi tempoh 21 Mac hingga Ahad lepas.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata mereka yang berusia 30 hingga 40 tahun itu ditahan di Kota Setar, Sik dan Kuala Muda.

Polis juga merampas dua pucuk pistol jenis Luger dan revolver termasuk tiga butir peluru, sepucuk pistol tiruan, selaras senapang kayu buatan sendiri dan sebilah parang daripada suspek terbabit, katanya dalam sidang media, di sini Selasa.

Beliau berkata polis turut menemukan beberapa barangan lain seperti rompi dan pelekat berlogo polis dan topeng muka.

Mengulas kesemua tangkapan itu, Ahmad berkata dalam tangkapan pertama pada 12.45 pagi 21 Mac lepas, Unit Rondaan Bermotosikal dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar menahan seorang lelaki warga Myanmar yang dipercayai melakukan jenayah.

Susulan itu polis menahan dua lagi lelaki tempatan di Alor Setar dan pemeriksaan polis menemukan sepucuk pistol jenis Luger selain merampas sebilah parang, topeng muka serta sebuah motosikal yang dipercayai diguna untuk kegiatan jenayah.

Dalam operasi 2 April lepas di Sik, polis memberkas seorang lelaki berusia 30-an kerana menyimpan sepucuk senapang tiruan yang diperbuat daripada kayu namun boleh menyebabkan kematian, katanya.

Polis katanya turut menemukan 'detonator' dan pelbagai peralatan lain yang boleh diguna untuk membuat alat letupan.

Motif suspek menyimpan bahan-bahan berkenaan masih disiasat.

"Operasi di Kuala Muda pada 9 April lepas kira-kira 4.45 pagi menahan tiga lelaki yang melakukan kesalahan memeras ugut di sebuah pusat hiburan dah turut menemui sepucuk pistol jenis revolver serta tiga peluru," katanya.

Ahmad berkata satu lagi tangkapan di Kuala Muda juga pada 13 April lepas pihaknya menahan seorang lelaki sekitar 30-an yang memiliki pistol tiruan kira-kira pukul 1.10 pagi.

Lapan lelaki terbabit disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, yang boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan