Buruh Binaan Maut Dihempap Pintu Gerbang

Diterbitkan: Rabu, 9 April 2014 6:28 PM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Seorang buruh binaan maut selepas dihempap pintu gerbang konkrit yang dilanggar secara tidak sengaja oleh sebuah lori di Lorong Sentosa Kanan 2 dekat Muadzam Shah, Rompin pada Selasa.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata kejadian jam 9.50 pagi itu berlaku ketika mangsa, Juhari Muhammad, 51, sedang memberi arahan kepada pemandu lori terbabit untuk membuang bancuhan simen dalam keadaan kenderaan mengundur.

Katanya lori terbabit secara tiba-tiba telah terlanggar bahagian atas pintu gerbang konkrit di situ lalu menghempap mangsa.

"Akibat itu mangsa yang parah di kepala dan badan mati semasa menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah," katanya di sini.

Sementara itu, beliau berkata seorang kontraktor kabel, Mohd Amel Mohd Dahalan, 24, maut semalam selepas kereta yang dipandunya terbabas di Kilometer 47 Jalan Kuantan-Segamat dekat Pekan, tengah malam tadi.

Menurutnya, nahas jam 12.30 tengah malam itu berlaku semasa mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Tanjung Pulai, Pekan menghala ke Segamat.

Mohamed Fauzi berkata kereta mangsa hilang kawalan sewaktu melalui tempat kejadian lalu terbabas dan merempuh sebatang pokok di laluan bertentangan.

Beliau berkata mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Katanya kedua-dua kes sedang disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tags / Kata Kunci: Polis , Kuantan , Segamat

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan