Dua Ditahan Miliki Senapang Buatan Sendiri

Diterbitkan: Isnin, 31 Mac 2014 4:44 PM

ACP Azham Othman.

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Polis menahan dua lelaki kerana disyaki memiliki selaras senapang buatan sendiri dalam Ops Cantas Khas di sebuah rumah di Kampung Aur Duri, Salor di sini, Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu, ACP Azham Othman berkata kedua-dua suspek berumur 26 dan 30 tahun itu ditahan pada pukul 4.30 pagi. 

"Hasil risikan, polis melakukan serbuan ke atas rumah terbabit dan menahan dua suspek berkenaan.

"Pemeriksaan yang dilakukan menjumpai satu laras senapang buatan sendiri berada dalam almari dalam bilik tidur rumah tersebut," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata polis turut menemui beberapa komponen motosikal yang telah dileraikan dalam rumah berkenaan, disyaki dicuri.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan mereka kini direman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut," katanya.

Azham berkata kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan.

Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1995 kerana memiliki barang curi yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM1,000 jika sabit kesalahan. 

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan