Dua Daripada Empat Pelajar Hilang Di Gunung Bubu Ditemui Maut

Diterbitkan: Selasa, 18 Mac 2014 11:02 PM

gunung bubu

Mayat Adam Asraf Azman ditemui lemas dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat di Kuala Kangsar, Selasa. Foto BERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA KANGSAR: Dua daripada empat pelajar Kolej Vokasional Kuala Kangsar yang dilapor hilang ketika menuruni Gunung Bubu di Ulu Kenas di sini Ahad lepas, ditemui maut pada Selasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supt Ahmad Rabawi Abdul Jalil berkata, mayat Adam Asraf Azman dan Muhammad Amir Asyraff Baharuddin ditemui pada pukul 3.20 petang.

Beliau berkata, mayat kedua-dua remaja berusia 17 tahun itu ditemui di dalam Sungai Gading, kira-kira 13 kilometer dari kaki gunung berkenaan.

"Punca kematian masih belum diketahui," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, mayat Muhamad Amir Asyraff dibawa keluar dari kawasan berkenaan pada pukul 6 petang manakala mayat Adam dibawa turun 45 minit kemudian. 

Mayat kedua-dua pelajar itu dibawa ke hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.

Dua lagi pelajar yang hilang Muhammad Putera Rafii dan Siti Azimah Mohd Fitri, kedua-duanya berusia 17 tahun, dijumpai pada pukul 9 pagi di persisiran Sungai Gading dalam keadaan letih dan lesu.

Keempat-empat pelajar itu merupakan sebahagian daripada 25 pelajar tingkatan lima kolej itu yang mengikuti program perkhemahan tiga hari dua malam di gunung berkenaan, diiringi enam guru.

Operasi sejak dua hari lepas bersambung semula pada pukul 9 pagi Selasa membabitkan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Perhutanan, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia, polis, kumpulan SOS dan orang awam.

Kumpulan pelajar itu mula mendaki Gunung Bubu, yang mempunyai ketinggian 1,657 meter dari paras laut, pada pukul 3.30 petang Jumaat lepas dan menuruni gunung berkenaan pada petang Ahad.

Gunung Bubu, yang terkenal dalam kalangan pendaki tempatan, menyediakan Kem Sungai Gading dan Kem Batu Dinding, untuk bermalam.

Tags / Kata Kunci: gunung bubu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan