Geng 'Robin Hai' Ditahan, Kereta Mewah RM1.9 Juta Dirampas

Diterbitkan: Jumaat, 14 Mac 2014 3:57 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki dipercayai anggota sindiket curi kenderaan mewah dikenali 'Robin Hai' dan merampas 10 kenderaan pacuan empat roda bernilai RM1.9 juta dalam serbuan di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Mega, Bandar Teknologi Kajang, di sini, 18 Feb lepas.

Ketua Penolong Pengarah Risikan, Operasi dan Rekod (D4) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman SAC Abd Manaf Abd Razak berkata kedua-dua suspek berusia 21 dan 26 tahun itu ditahan bersama dua wanita dipercayai teman wanita mereka ketika 'Ops Lejang Mega' di lokasi kejadian pada 4.30 petang.

Abd Manaf berkata ketika kejadian, polis ternampak dua kenderaan jenis Toyota Hilux dan sebuah Perodua Kancil dibawa keluar dari gudang itu dan polis mengekori ketiga-tiga kenderaan itu sehingga Plaza Tol Sungai Ramal.

"Kenderaan mereka berjaya dihalang sebelum kedua-dua Toyota Hilux itu mengundur laju dan merempuh sebuah kenderaan polis yang berada di belakang.

"Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar sebuah daripada Toyota Hilux itu sebelum menahan mereka ketika cuba melarikan diri," katanya dalam sidang media, di sini, Jumaat.

Abd Manaf berkata hasil soal siasat, suspek membawa polis ke sebuah gudang di kawasan perindustrian Mega, Bandar Teknologi Kajang yang dijadikan tempat pengumpulan kenderaan curi dan polis merampas dua lagi Toyota Hilux yang dilaporkan dicuri di dalam gudang itu.

Katanya suspek berperanan sebagai 'jockey' yang mana tugasnya adalah mengambil dan menghantar kenderaan seperti diarahkan dan memasukkan kenderaan curi ke dalam kontena.

"Hasil pendedahan suspek juga, pihak polis ke Westport, Pelabuhan Klang dan merampas dua kontena mengandungi enam lagi kenderaan pacuan empat roda sebelum dilakukan proses imbasan ke atas kontena itu," katanya sambil menambah polis merampas enam Toyota Hilux, tiga Toyota Fortuner dan sebuah Honda CRV dalam operasi itu.

Beliau berkata anggota sindiket itu 'direkrut' sejak pertengahan tahun lepas dan sehingga kini 22 kenderaan curi yang diseludup keluar dari Malaysia melalui jalan laut ke luar negara ke Pelabuhan Jebel Ali, Dubai.

Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut bagaimanapun kedua-dua teman wanita suspek dilepaskan.

Statistik polis pula menunjukkan secara purata antara 40 hingga 45 kenderaan curi dilaporkan setiap hari di negara ini.


Tags / Kata Kunci: PDRM , Hilux , Robin Hai

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan