Lelaki 50 Tahun Disyaki Menyamar Pegawai KDN Ditahan

Diterbitkan: Rabu, 12 Mac 2014 11:12 PM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Seorang lelaki dipercayai menyamar sebagai pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendidikan sehingga menyebabkan kerugian RM75,640 kepada mangsa ditahan polis malam Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Perak Supt Maszley Minhad berkata lelaki berusia 50 tahun itu ditahan di sebuah kedai makan di Taman Rasi Jaya, Menglembu, di sini pada pukul 9.45 malam.

"Suspek yang direman empat hari sehingga Sabtu ini dipercayai boleh menyelesaikan enam kes di Perak serta satu kes di Kelantan," katanya dalam kenyataan di sini Rabu.

Beliau berkata pihaknya turut merampas dua kad mesin pengeluaran automatik (ATM), dua buah buku akaun bank dan sebuah telefon bimbit daripada suspek.

Suspek dipercayai menyamar sebagai pegawai KDN dan Jabatan Pendidikan dengan menawarkan tender komputer riba dan komputer di sekolah dan pejabat kerajaan, katanya.

Beliau berkata penyamaran sebagai pegawai kerajaan dan menggunakan cara menyakinkan mangsa bahawa suspek mempunyai kuasa mengeluarkan tender itu dilapor di Jelapang, Ampang Baru, Menglembu dan Pekan Bharu di sini.

Maszley berkata laporan polis juga dibuat di Tronoh, dekat sini terhadap suspek yang didakwa menawarkan tender pembekalan kotak pertolongan cemas bagi kawasan perindustrian di Kulim, Kedah menyebabkan mangsa kerugian RM30,000.

"Suspek turut dipercayai menipu mangsa berdasarkan laporan di Pekan Bahru di sini dengan menawarkan kontrak penanaman rumput di lebuh raya yang mengakibatkan mangsa mengalami kerugian RM4,390," katanya.

Beliau berkata suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 iaitu menipu sehingga mendorang harta benda diserahkan dan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan