Juruteknik Rugi RM18,000 Terpedaya Dengan Peluang Perniagaan Kerusi Urut

Diterbitkan: Selasa, 11 Mac 2014 8:38 PM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Seorang juruteknik kilang kerugian RM18,000 kerana terpedaya dengan peluang perniagaan kerusi urut yang ditawarkan sebuah syarikat pembekal barang yang beralamat di Ipoh, Perak.

Mustakim Moolish, 32, berkata pada mulanya beliau menerima panggilan telefon daripada syarikat berkenaan pada 31 November tahun lepas yang menjemputnya untuk menghadiri majlis yang diaturkan syarikat itu di sebuah hotel di sini.

Katanya syarikat terbabit menyatakan majlis itu hanya untuk kajian dan turut menawarkan hadiah antaranya tiket penerbangan, baucar makan malam di hotel dan pakej pelancongan.

"Setelah berada di sana, syarikat berkenaan sebaliknya menawarkan pakej perniagaan kerusi urut," katanya kepada pemberita di Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) Melaka di sini Selasa.

Katanya syarikat itu akan membekalkan kerusi urut berharga RM18,000 sebuah dan kerusi urut berkenaan akan diletakkan di lokasi yang dipilih syarikat.

Mustakim berkata kagum dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pihak syarikat berkenaan, beliau merasakan ini merupakan peluang keemasan untuk dirinya terlibat dalam dunia perniagaan.

Beliau diminta membayar deposit sebanyak RM7,000 pada hari itu, namun beliau hanya mempunyai RM3,000 dan memasukkan jumlah itu ke dalam akaun syarikat berkenaan.

"Saya telah membuat bayaran baki RM15,000 pada Disember tahun lepas dan syarikat berjanji akan menghantar mesin urut tersebut sebelum 10 Jan lepas tetapi sehingga kini saya masih belum dapat kerusi itu," katanya.

Mustakim berkata beliau cuba menghubungi syarikat berkenaan namun gagal malah telefon bimbit wakil syarikat itu dimatikan setiap kali cuba dihubungi.

Beliau membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh pada 15 Jan lepas.

Sementara itu, Pengarah Pembela BN Melaka, Amir Hamzah Aziz berkata pihaknya telah berbincang dengan peguam untuk membantu Mustakim.

"Kemungkinan kami akan meminta bantuan polis dari daerah Ipoh untuk mengendalikan kes ini kerana syarikat berkenaan beribu pejabat di Ipoh," katanya.
Tags / Kata Kunci: kerusi urut , perniagaan , melaka

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan