Polis Johor Tumpas Sindiket Samun Lori

Diterbitkan: Selasa, 4 Mac 2014 9:20 PM

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff melihat muatan perabot separuh siap yang ditemui dengan kejayaan pihak polis menumpaskan sindiket samun kargo di daerah Ledang pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor Baharu, Selasa. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Tindakan pantas polis menyebabkan sekumpulan penyamun yang melarikan lori membawa muatan jongkong tembaga bernilai RM400,000 berputih mata selepas lori itu dikesan dalam tempoh setengah jam selepas kejadian.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata dalam kejadian 24 Feb lepas di Jalan Litar, Pasir Gudang, polis menerima laporan sebuah lori memuatkan jongkong tembaga dilarikan oleh sekumpulan lelaki yang bertindak menahan pemandunya.

"Dalam masa setengah jam, polis berjaya mengesan lori itu bersama muatan di ladang sawit di Mount Austin, Johor Baharu," katanya dalam sidang media, di sini Selasa.

Katanya susulan itu juga polis menahan 18 lelaki berusia antara 19 dan 48 tahun dalam beberapa serbuan di sekitar Seri Alam dan Johor Baharu.

Siasatan mendapati empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah dan dengan penangkapan itu juga polis dapat menyelesaikan 13 kes samun membabitkan kumpulan tersebut, katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Mengulas kes lain, Mohd Mokhtar berkata polis Johor berjaya menyelesaikan kes samun sebuah lori membawa perabot separuh siap yang dilapor berlaku pada 28 Februari lepas.

Dalam kejadian pukul 5 pagi di Plaza Tol Tangkak itu, pemandu lori berkenaan disamun tiga lelaki bersenjatakan parang yang kemudian melarikan lori tersebut.

Hasil risikan dan maklumat awam polis menyerbu beberapa lokasi di Seremban, Negeri Sembilan dan menahan tiga suspek berusia antara 36 dan 38 tahun selain menemui semula lori dan barangan yang disamun, katanya.Dalam satu lagi kes, Mohd Mokhtar berkata polis menahan sepasang kekasih berusia 19 dan 21 tahun yang dipercayai terbabit dalam beberapa kes pecah rumah di Kluang.

Pada 26 Februari lepas, polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Tengah, Layang-Layang di Kluang dan menahan seorang gadis berusia 19 tahun, katanya.

Susulan penangkapan itu, polis menahan teman lelakinya di Jalan Layang-Layang Bukit Batu dan menemui beberapa barangan yang dipercayai hasil kegiatan pecah rumah.

Siasatan polis mendapati gadis itu bertindak sebagai penjual barangan yang dicuri oleh kekasihnya, kata Mohd Mokhtar yang menambah kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 14 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

Tags / Kata Kunci: lori , samun , johor , johor baharu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan