Bot Bomba Terbalik ketika Selamatkan Mangsa Banjir - Berita Jenayah | mStar

Bot Bomba Terbalik ketika Selamatkan Mangsa Banjir

Diterbitkan: Khamis, 13 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Sebuah bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang sedang memindahkan mangsa banjir di Kampung Mempikit, terbalik menyebabkan kesemua 17 orang di atasnya terjatuh ke dalam sungai dalam kejadian di Keningau, Khamis.

Bagaimanapun menurut jurucakap bomba, kesemua mereka iaitu 14 mangsa banjir dan tiga anggota bomba berjaya diselamatkan dalam kejadian 10.33 pagi itu.

Akan tetapi seorang kanak-kanak berusia dua tahun terpaksa dikejarkan ke Hospital Keningau selepas tidak sedarkan diri akibat kejadian, katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika bot itu dalam perjalanan ke pusat pemindahan.

Insiden dipercayai berlaku apabila mangsa banjir yang berada di atas bot itu berdiri selepas panik melihat arus Sungai Pegalan yang deras, menyebabkan bot tidak stabil lalu terbalik, katanya.

Bernama difahamkan paras air Sungai Pegalan melimpah ke kawasan perkampungan sekitar, menyebabkan banjir kilat. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan