Polis Marin Tahan 13 Pati Di Bandar Penawar

Diterbitkan: Rabu, 12 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Polis Marin Wilayah Dua menahan 13 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia yang cuba keluar dari Malaysia menerusi "laluan tikus" di Kota Tinggi semalam.

Komandernya ACP Zainul Abidin Hasan berkata kesemua lima lelaki, lima wanita dan tiga kanak-kanak itu ditahan di pesisir pantai berhampiran Kompleks Bandar Penawar pada kira-kira 10 malam.

"Hasil soal siasat yang dijalankan, kesemua PTI mengaku hendak balik ke Indonesia menggunakan bot pancung secara tidak sah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Operasi penahanan PATI itu, yang kini ditahan di Balai Polis Bandar Penawar, dijalankan oleh Markas Taktikal Polis Marin Wilayah Dua bersama Unit Gempur Marin (Ungerin).

Zainul Abidin berkata sehingga semalam sebanyak 15 kes tangkapan melibatkan penahanan 163 PATI dibuat oleh Polis Marin Wilayah Dua mengikut kesalahan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIP) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002.

Pasukan Polis Marin Wilayah Dua turut menangkap dua lelaki yang bertindak sebagai tekong. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan