Wanita Maut Motosikal Hilang Kawalan Akibat Diragut

Diterbitkan: Ahad, 9 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Akibat diragut, seorang wanita maut apabila motosikal yang ditunggang hilang kawalan lalu kepalanya terhentak pada tebing konkrit di Jalan Hospital Slim River dekat sini, Ahad.

Mangsa M. Shemavarthini, 26, disahkan meninggal dunia pada pukul 5.02 petang ketika sedang menerima rawatan di Hospital Slim River kerana mengalami pendarahan dalam otak akibat hentakan itu.

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Supt Othman Nanyan berkata, dalam kejadian pukul 4.35 petang, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dalam perjalanan ke hospital berkenaan untuk mengambil ibu saudaranya yang bekerja sebagai pencuci di situ.

Katanya dalam perjalanan itu, mangsa diekori seorang lelaki menunggang motosikal yang kemudian meragut rantai leher yang dipakai mangsa sehingga menyebabkan motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan dan terjatuh.

"Topi keledar yang dipakai mangsa telah tertanggal dan kepalanya terhentak di tebing konkrit," katanya ketika dihubungi.

Othman berkata, suspek dapat meragut rantai leher emas yang merupakan 'thali' perkahwinan mangsa bernilai kira-kira RM5,000. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan