Seorang Pemancing Dikhuatiri Lemas Selepas Bot Karam - Berita Jenayah | mStar

Seorang Pemancing Dikhuatiri Lemas Selepas Bot Karam

Diterbitkan: Jumaat, 31 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SARATOK: Seorang pemancing dikhuatiri lemas selepas perahu yang dinaiki bersama enam lagi rakannya karam akibat dipukul ombak di kawasan Simpang Tiga Tanjung Kuali Kabong, di sini, Jumaat.

Dalam kejadian pukul 4 petang itu mengakibatkan mangsa, Nurul Aizan Daraman, 24 hilang, manakala enam lagi rakan mangsa dapat menyelamatkan diri.

Pemangku Ketua Polis Daerah Saratok, ASP Zamrul Ahmad Tahir berkata, polis menerima maklumat awam mengenai kejadian tersebut sebelum menghubungi Balai Bomba Dan Penyelamat Saratok untuk membantu menjalankan gerakan mencari dan menyelamat.

"Semua mangsa yang berasal dari Kampung Kabong, dekat sini telah pergi memancing, semasa dalam perjalanan pergi melalui kawasan Simpang Tiga Tanjung Kuali Kabong, Sungai Krian perahu mereka telah dipukul ombak besar menyebabkan perahu mereka karam.

"Enam mangsa dapat menyelamatkan diri, manakala seorang lagi masih hilang.

"Operasi mencari dan menyelamat akan dijalankan pada esok hari. Operasi tidak dapat dijalankan memandangkan hari telah malam dan kawasan tersebut gelap," katanya ketika dihubungi Bernama.

Zamrul berkata, enam mangsa yang terselamat dikenali sebagai Chee Mat Chee, 24, Mohd Azhar Salleh, 24, Abg Mohd Shammy Abg Mansor, 24, Mohd Hafizul Izzani Abg Mansor, 17, Mohd Zulhelmi Bolhassan, 17, dan Aman Afendi, 31.

Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Saratok, Awang Affendi Awang Julaihi ketika dihubungi, berkata pihaknya sedang memantau keadaan di kawasan kejadian dan gerakan mencari dan menyelamat akan hanya bermula Sabtu. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan