Polis Tubuh Pasukan Khas Pantau Keselamatan Pulau Pinang

Diterbitkan: Rabu, 29 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Abdul Rahim
Abdul Rahim

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menubuhkan pasukan khas bagi memantau keadaan negeri ini agar bebas daripada insiden tidak diingini susulan tindakan membaling 'molotov cocktail' di perkarangan sebuah gereja di Lebuh Farquhar di sini Isnin.

Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata selain memberi fokus terhadap kawalan keselamatan di kawasan masjid dan gereja, pasukan khas 73 pegawai kanan dan 210 anggota itu juga akan bertanggungjawab menjaga keamanan serta keharmonian pelbagai kaum dan agama di negeri ini terus terpelihara.

"Syukur semalam tidak ada insiden yang tidak diingini berlaku dan setakat ini sudah ada 16 laporan yang dibuat berhubung isu kain rentang yang digantung di gereja serta tindakan membaling molotov cocktail atau bom botol.

"Tiga kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan dan satu kertas siasatan di bawah Seksyen 436/511 Kanun Keseksaan berhubung kes membaling molotov cocktail. Setakat ini polis telah menjalankan 40 peratus siasatan dan telah mengambil sembilan keterangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil kelulusan polis bantuan Perbadanan Bekalan Air Holdings Berhad (PBAHB) di sini hari ini. Turut hadir pada majlis itu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi semalam, perkarangan sebuah gereja di Lebuh Farquhar dibaling molotov cocktail oleh dua suspek yang menunggang sebuah motosikal. Siasatan mendapati hanya satu daripada dua botol yang dilemparkan itu meletup dan mengakibatkan kebakaran bagaimanapun tiada kerosakan serius dilaporkan.

"Setakat ini pihak polis hanya boleh pastikan terdapat dua lelaki menaiki sebuah motosikal, imej itu diperoleh daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di jalan berkenaan kerana di gereja tiada CCTV," kata Abdul Rahim.

Beliau berharap orang awam dapat memberikan kerjasama kepada polis dalam usaha menyelesaikan isu ini.

Beliau turut memberi amaran keras kepada pihak yang cuba mewujudkan ketidaktentuan tentang isu sensitif yang boleh membangkitkan kemarahan kaum.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahim berkata di Pulau Pinang terdapat 32 agensi dan badan berkanun yang telah mendapat kelulusan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menubuhkan pasukan polis bantuan dengan jumlah perjawatan yang wujud ialah sebanyak 1,959 manakala jumlah kekuatan adalah sebanyak 903.

"Daripada 32 agensi dan badan berkanun itu terdapat enam agensi yang menubuhkan pasukan polis bantuan dengan tujuan mencegah jenayah, agensi itu ialah Penang Port Sdn Bhd, Majlis Perbandaran Seberang Perai, Tenaga Nasional Berhad, Malaysia Airport Berhad, Bank Negara dan Universiti Teknologi Mara," katanya.

Abdul Rahim berkata pasukan polis bantuan yang ditubuhkan PBAHB bertujuan mencegah jenayah di premis PBAHB iaitu sembilan loji rawatan air, 65 kolam takungan air, 40 menara takungan air terawat dan 87 stesen pam yang membekalkan air kepada 533,916 pelanggan berdaftar di seluruh Pulau Pinang.

Katanya 11 pengawal keselamatan sedang mengikuti latihan polis bantuan dan akan menamatkan sesi latihan pada 14 Feb ini, kesemua mereka ditempatkan di loji utama Sungai Dua, Seberang Perai Utara.

"Pasukan yang kedua iaitu 11 anggota lagi akan menjalani latihan pada penghujung bulan Mac, program ini akan diteruskan secara berperingkat dan dijangka tamat dalam tempoh tiga tahun," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan