Lelaki Tembak Cermin Pasar Raya Selepas Jumpa Isteri Untuk Berbincang - Berita Jenayah | mStar

Lelaki Tembak Cermin Pasar Raya Selepas Jumpa Isteri Untuk Berbincang

Diterbitkan: Sabtu, 25 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang anggota pasukan keselamatan melepaskan beberapa das tembakan yang mengenai cermin sebuah pasar raya di Pelabuhan Klang selepas bertemu isterinya untuk berbincang berkaitan masalah rumah tangga mereka di premis berkenaan pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam insiden pada 4.45 petang itu, lelaki berusia 45 tahun berkenaan ke pasar raya itu untuk berjumpa isterinya yang berusia 30 tahun.

Lelaki itu tiba-tiba mengeluarkan pistol yang dibekalkan pasukannya dan melepaskan tembakan.

"Dalam kejadian itu, tiada individu yang dilaporkan cedera, termasuk isteri suspek. Beberapa tembakan yang dilepaskan suspek hanya mengenai cermin pasar raya berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Selepas kejadian, Kamarul Zaman berkata, suspek terus menyerah diri di Balai Polis Pelabuhan Klang serta sepucuk pistol jenis Glock dan satu kelopak mengandungi peluru sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, polis akan menyiasat punca sebenar kejadian dan mendapatkan perintah tahanan reman daripada Mahkamah Majistret pada Ahad.

Isteri suspek juga akan dipanggil bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan