Tiada Kesan Penderaan Seksual Pada Mayat Kanak-Kanak

Diterbitkan: Jumaat, 24 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Laporan awal bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak berusia dua tahun yang ditemui mati dibunuh di sebuah rumah kosong di Taman Permint, Seberang Paka Dungun tidak menunjukkan kesan penderaan seksual pada mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata hasil laporan awal bedah siasat yang dijalankan tidak menunjukkan mangsa dirogol mahupun diliwat.

Bagaimanapun laporan itu belum muktamad dan polis masih menunggu laporan lanjut daripada bahagian Toksikologi bagi mengetahui punca sebenar kematian kanak-kanak itu, katanya pada sidang media di sini Khamis.

Selasa lepas mayat kanak-kanak perempuan itu ditemui seorang pengawal keselamatan yang melakukan rondaan di kawasan perumahan baharu itu kira-kira 3.30 petang selepas terlihat pintu utama rumah berkenaan terbuka serta terhidu bau busuk.

Curiga dengan bau itu pengawal keselamatan itu masuk ke dalam rumah berkenaan dan menemui mayat kanak-kanak itu dalam keadaan terbaring di bilik air.

Ekoran daripada itu polis memberkas empat suspek termasuk ibu mangsa bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu Manoharan berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa mangsa mengalami penderaan seksual seperti yang dilaporkan media.

Beliau berharap orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung kes ini sehingga siasatan selesai dan pihak media harus mendapatkan maklumat yang sahih daripada polis. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan