Syabu Bernilai RM90,000 Dirampas Daripada Remaja Indonesia

Diterbitkan: Jumaat, 24 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menahan seorang remaja Indonesia dan merampas 300.5 gram syabu bernilai kira-kira RM90,000 di perairan Sabindo di sini, Rabu.

Komander PPM Bukit Aman, Datuk Isa Munir berkata remaja berumur 19 tahun itu ditahan dalam rondaan kira-kira pukul 10.15 pagi.

"Semasa melakukan rondaan, anggota yang bertugas melihat seorang lelaki dalam keadaan yang mencurigakan sedang duduk di dalam sebuat bot yang sedang berlabuh di kawasan laut Sabindo.

"Ketika melakukan pemeriksaan, kami mendapati lelaki berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen sah. Pemeriksaan lanjut pada bot berkenaan mendapati terdapat sebuah beg plastik yang mengandungi sebuah kotak yang setelah diperiksa di dalamnya terdapat enam pek kecil yang mengandungi bahan hablur jernih yang dibungkus menggunakan plastik lutsinar, yang disyaki dadah jenis syabu," katanya pada sidang media di sini Khamis.

Isa berkata lelaki itu kemudiannya dibawa ke Pejabat PPM Tawau untuk tindakan lanjut dan kes itu telah dirujuk ke Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau.

Beliau berkata tangkapan dan rampasan itu merupakan kes pertama PPM Tawau tahun ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan