Lelaki Dipercayai Lemas Tergelincir Dalam Sungai Pendang - Berita Jenayah | mStar

Lelaki Dipercayai Lemas Tergelincir Dalam Sungai Pendang

Diterbitkan: Jumaat, 24 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Seorang lelaki berumur 40-an dipercayai lemas selepas tergelincir dalam Sungai Pendang berhampiran Kampung Gerigis, Jalan Datuk Kumbar di sini Khamis.

Saksi kejadian, Mohd Fadli Abdul Rani, 25, berkata dia terdengar jeritan meminta tolong dan melihat seorang lelaki terkapai-kapai dalam sungai itu sebelum hilang dalam kejadian pukul 3 petang.

"Saya sedang sembang dengan kawan, Mohd Azrae Azhar (21), di luar rumah tidak sempat untuk selamatkan lelaki itu kerana ia berlaku dengan pantas tambahan pula sungai itu lebarnya 50 meter dan agak dalam.

"Saya tak tau dia (mangsa) datang dari mana dan tiba-tiba sahaja dengar suara orang minta tolong. Dalam beberapa minit lelaki yang berada di tengah-tengah sungai itu hilang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini.

Beliau percaya lelaki itu orang luar dan mungkin datang memancing di sungai itu pada waktu petang.

Tinjauan di lokasi, orang kampung berusaha mencari motosikal mangsa atau barangan lain bagi mencari identiti mangsa tetapi gagal ditemui.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Mohamad Hafiz Suhaimi berkata pihaknya menerima panggilan pada 3.07 petang dan tiba di tempat kejadian 3.30 petang.

Katanya operasi mencari dan menyelamat itu membabitkan tujuh anggota dan menggunakan sebuah bot serta turut dibantu lima anggota unit skuba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani.

Beliau berkata operasi ditangguhkan pukul 7 malam berikutan keadaan gelap dan akan disambung semula Jumaat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan