Kangkung: Adun Machang Bubuk Beri Keterangan Kepada Polis

Diterbitkan: Khamis, 23 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Anggota Dewan Undangan Negeri Machang Bubuk Lee Khai Loon pada Khamis memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di sini berhubung tindakannya menyumbat kangkung ke dalam mulut patung menyerupai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini.

Lee berkata beliau menerima surat daripada Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah ASP Hasan Mohamad Salih pada 21 Jan yang memintanya datang ke Jabatan Siasatan Jenayah IPD di sini.

Kata Lee, beliau pergi ke IPD pada pukul 2.30 petang dan polis merakam kenyataannya selama 40 minit.

"Saya memberi kerjasama sepenuhnya dan berharap keterangan saya itu dapat membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmatnya di Alma, di sini Khamis.

Sementara itu, Lee berkata 'flash mob' kangkung yang diadakan itu tidak membawa apa-apa maksud untuk menghina sesiapa.

"Apa yang berlaku pada hari itu tidak membawa apa-apa keganasan dan tidak membangkitkan sentimen dan saya hanya menggunakan kangkung sebagai satu contoh kenyataan yang dikeluarkan oleh perdana menteri," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan