Polis Berkas Tiga Lelaki Samun Suami Isteri Di Pulau Tioman

Diterbitkan: Selasa, 21 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Polis memberkas tiga lelaki yang dipercayai menyamun sepasang suami isteri di Kampung Tekek dekat Pulau Tioman malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Johari Jahaya berkata tiga suspek berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan polis dengan bantuan penduduk kampung berkenaan pada kira-kira 9 pagi di Jeti Kampung Genting, Pulau Tioman.

"Suspek yang dalam keadaan mencurigakan itu dipercayai sedang menunggu feri untuk keluar dari Pulau Tioman. Siasatan awal mendapati suspek bukan penduduk tempatan dan tiba di Pulau Tioman kira-kira seminggu lepas," katanya kepada Bernama Selasa.

Polis turut menemui sebilah pisau dan wang sebanyak RM280 bersama-sama suspek.

Johari berkata dalam kejadian kira-kira 9 malam, pasangan itu sedang menonton televisyen ketika mereka disamun tiga lelaki yang menutup muka dan bersenjatakan pisau. Lelaki berusia 58 tahun itu terkejut apabila suspek tiba-tiba masuk ke dalam rumah lalu seorang daripada mereka mencekik lehernya dari arah belakang sambil mengacukan sebilah pisau di lehernya.

Katanya lelaki itu bergelut dengan suspek menyebabkan beliau cedera dan menerima lapan jahitan di kepala dan empat jahitan di jari namun isterinya yang berusia 54 tahun tidak cedera.

"Selepas menyerang mangsa, suspek menggeledah rumah mangsa dan melarikan telefon bimbit dan wang tunai RM300," katanya.

Johari berkata ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan